RM100 juta untuk penggiat seni di bawah pakej Pemulih | DagangNews Skip to main content

RM100 juta untuk penggiat seni di bawah pakej Pemulih

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni dan terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio dan penciptaan lagu. 

 

“Di samping itu, kerajaan telah menerima banyak permintaan supaya bantuan kewangan yang diberikan kepada pusat asuhan anak-anak dan tadika pada tahun lepas dapat diperkenalkan semula. 

 

Pemulih

 

“Sehubungan itu, kerajaan akan memberikan Bantuan Khas Taska yang berjumlah RM3,000 kepada lebih 4,400 pengusaha taska seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lebih 8 ribu pengusaha tadika swasta seliaan Kementerian Pendidikan. 

 

“Kerajaan juga mendengar suara pengusaha kantin di sekolah yang masih ditutup dan menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Kerajaan bersetuju bantuan kewangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada semua pengusaha kantin berdaftar.

 

Pemulih

 

“Selanjutnya, kerajaan sedar bahawa pengusaha industri sukan dan operator arena sukan seperti gym, bowling, futsal dan sebagainya turut terkesan dan mereka hanya boleh beroperasi semula seawal fasa ketiga PPN nanti. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan one-off sebanyak RM3,000 ribu kepada mereka,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), hari ini. - DagangNews.com