RM18 juta diperuntukkan bantu usahawan wanita, OKU | DagangNews Skip to main content

RM18 juta diperuntukkan bantu usahawan wanita, OKU

 

 

KUALA LUMPUR 13 April - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan lebih daripada RM18 juta bagi membantu usahawan wanita dan orang kurang upaya (OKU).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerjasama itu dapat membantu kumpulan sasaran kembali pulih akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai program dan bantuan.

 

Katanya, sebanyak RM18.2 juta telah diperuntukkan setakat ini yang digunakan untuk pelbagai program termasuk latihan, bantuan kewangan dan pembiayaan.

 

"Usahawan wanita merupakan antara pemilik perniagaan paling terkesan akibat wabak itu kerana kebanyakannya berada dalam kategori mikro atau tidak formal dan menjalankan perniagaan dalam sektor tidak mustahak seperti fesyen, spa, pengurusan acara dan perancang perkahwinan.

 

“Sehubungan itu, Medac menerusi agensi di bawahnya sentiasa bekerja keras menyediakan bantuan penuh yang bukan sahaja membantu mereka pulih daripada pandemik ini tetapi juga membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang maju," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Wan Junaidi memberitahu, kementerian akan memberi fokus untuk membantu perniagaan ini bergerak digital dan menyesuaikan diri dengan teknologi.

 

Ini berdasarkan tinjauan yang dijalankan kementerian mendapati perniagaan yang bergerak secara digital lebih berdaya tahan berbanding yang menolak untuk ke arah digital.

 

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Medac menerusi Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) juga berminat untuk bekerjasama dengan KPWKM untuk mengenal pasti perniagaan milik wanita yang berpotensi dikembangkan menjadi jenama francais tempatan.

 

Katanya, banyak PKS bimbang menceburkan diri dalam francais disebabkan persepsi bahawa ia memerlukan modal permulaan yang tinggi.

 

“Sudah tentu sebelum mereka mulakan perniagaan, PNS akan menilai dan berunding dahulu dengan mereka bagaimana untuk melakukan semua langkah.

 

“Selain itu, kami juga memiliki agensi lain dalam kementerian untuk menyediakan sokongan diperlukan untuk usahawan termasuk pembiayaan, latihan, bimbingan perniagaan dan perundingan," jelas beliau. - DagangNews.com