RM2.4 bilion kutipan modal AirAsia 'cukup-cukup makan' - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

RM2.4 bilion kutipan modal AirAsia 'cukup-cukup makan' - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Berdasarkan jangkaan pemulihan trafik oleh CGS-CIMB Research, sejumlah kutipan modal Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) sehingga RM2.4 bilion hampir tidak mencukupi.

 

Ini berikutan kadar jangkitan yang tinggi di Malaysia, Indonesia dan Filipina membimbangkan sekali gus mungkin melambatkan proses pemulihan.

 

“Indonesia AirAsia dan Philippines AirAsia dibenarkan untuk membuat keputusan, tetapi sekiranya mereka gagal untuk mendapatkan hutang baharu, AirAsia mungkin perlu menyuntik wang tunai. 

 

“Tanpa sokongan kerajaan, AirAsia berisiko dan kami percaya syarikat penerbangan itu perlu mengadakan kutipan dana lebih daripada satu kali,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Semalam, AirAsia mendedahkan prestasi kewangan syarikat yang menyaksikan kerugian bersih sehingga RM1.4 bilion pada suku ketiga 2020 (3Q20), lebih dua kali ganda daripada 3Q19 (RM600 juta). 

 

AirAsia dalam masa sama menjangkakan langkah kutipan modal sebanyak RM2 bilion hingga RM2.5 bilion akan selesai antara Disember 2020 hingga Februari 2021. 

 

Sebanyak RM1 bilion kutipan dana dijangka diperoleh daripada pinjaman bank Malaysia di mana 80% daripadanya merupakan skim Danajamin dan sebanyak RM1.4 bilion pula ekuiti baharu. 

 

“Kami menjangkakan AirAsia bakal mengutip sebanyak RM1.4 bilion hutang baharu pada FY20 hingga FY21 dan RM1 bilion bagi ekuiti baharu pada FY21.

 

“Tanpa terbitan ekuiti, kami berpendapat AirAsia akan jatuh ke dalam kedudukan kerugian bersih menjelang penghujung FY21,” tambah CGS-CIMB. 


 

CGS-CIMB menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM0.11. 

 

Sebaliknya, MIDF Research meningkatkan penarafan AirAsia kepada ‘neutral’ dengan menambah TP kepada RM0.68.

 

“Walaupun pelbagai cabaran dijangka didepani AirAsia, namun kami percaya kumpulan syarikat itu bersedia untuk terus bertahan mengharungi pandemik COVID-19 dengan kawalan kos yang ketat dan berterusan menginovasi model perniagaannya,” kata MIDF. - DagangNews.com