RM358 juta disalur laksana 414 progam keusahawanan di Perak tahun ini, beri manfaat kepada 114,000 usahawan | DagangNews Skip to main content

RM358 juta disalur laksana 414 progam keusahawanan di Perak tahun ini, beri manfaat kepada 114,000 usahawan

Penganjuran pelbagai program keusahawanan memacu daya saing dan ekonomi usahawan negeri Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 13 Dis - Sebanyak 414 program keusahawanan telah dilaksanakan di negeri Perak sepanjang tahun ini sehingga November dengan peruntukkan RM358 juta menerusi kerjasama pelbagai kementerian dan agensi.

 

Ia telah memberi manfaat kepada lebih 114,000 usahawan Perak dalam usaha mengukuhkan prospek ekonomi dan perniagaan.

 

Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohammad Rozlan Mohamad Razalli berkata, program keusahawanan tersebut meliputi pelbagai segmen termasuk jualan dan karnival selain latihan serta bimbingan.

 

Menurut beliau, ini antara peranan yang dimainkan oleh pihaknya sebagai agensi pelaksana di bawah portfolio kerajaan negeri Perak.

 

Usahawan
Salbiah (tengah) dan Mohammad Rozlan (dua dari kanan) menyantuni usahawan pada satu karnival jualan yang diadakan.

 

“Terbaru, sesi mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Perak (MUNP) 2/2023 telah diadakan di Pulau Pangkor bagi membincangkan perancangan tahun hadapan.

 

“Mesyuarat ini dipengerusikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri Perak, Dato' Salbiah Mohamed 

 

“Ia telah dihadiri seramai 39 ketua jabatan dan agensi serta wakil berkaitan keusahawanan persekutuan dan negeri Perak,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Penubuhan STeP merupakan ilham Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad pada 2020 semasa beliau menjadi Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak.

 

Usahawan

 

Jelas Mohammad Rozlan, STeP merupakan urusetia kepada mesyuarat yang menjadi platform utama segala perkongsian maklumat, perancangan dan pelaksanaan.

 

Katanya, program-program keusahawanan di negeri Perak ini melibatkan kerjasama langsung daripada 49 pihak iaitu kementerian, jabatan dan agensi persekutuan serta negeri.

 

“Juga pelbagai perancangan program dan bantuan kerajaan negeri dan agensi untuk usahawan Perak yang telah digariskan pada tahun 2024 kelak.

 

“Ini sebagai kelangsungan inisiatif yang dapat mengangkat tahap usahawan Perak ke peringkat yang lebih baik,” ujarnya.

 

Usahawan
Sebahagian daripada ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri yang hadir pada sesi MUNP yang dipengerusikan Salbiah (barisan depan enam dari kanan) di Pulau Pangkor.

 

Pada pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2024, sebanyak RM6.3 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri kepada pelbagai agensi antaranya bagi memperkasakan bidang keusahawanan.

 

Daripada jumlah itu, STeP menerima RM1.3 juta, Sekretariat Wanita (RM1.9 juta), Program Pinjaman Tabung Usahawan (RM2 juta), Program Pendayaupayaan Wanita dan Masyarakat (RM1 juta) manakala Pembangunan Usahawan dan Koperasi (RM1 juta). - DagangNews.com