Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Sebanyak RM422 juta jumlah bayaran bagi Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 yang dilaksanakan bermula 1 September hingga 31 Disember 2020.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, jumlah bayaran tersebut melibatkan 96,566 majikan yang mewakili 975,413 orang pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.
"Setakat 31 Disember 2020, sejumlah 96,566 majikan yang mewakili 975,413 orang pekerja yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah telah menerima bantuan kewangan PSU 2.0," jelas Perkeso dalam satu hantaran di halaman Facebook semalam.
PSU 2.0 membawa matlamat dan tujuan yang sama untuk membantu majikan yang terkesan dalam aspek ekonomi akibat COVID-19.
Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan tersebut, mereka disyaratkan untuk mengekalkan semua pekerja mereka yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.
Selain itu, majikan dibenarkan untuk mengurangkan waktu bekerja ataupun pengurangan gaji selepas berunding dengan pekerja
Inisiatif itu dijalankan agar majikan dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Dalam hantaran yang sama, Perkeso memberitahu, majikan dalam sektor pelancongan dan runcit yang masih memerlukan bantuan kerajaan boleh mengemukakan permohonan untuk PSU 3.0.
Permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan https://psu.perkeso.gov.my mulai 1 Januari 2021.
"Tarikh tutup permohonan adalah 30 Jun 2021.
"Sila layari https://myfuturejobs.gov.my untuk maklumat lanjut," jelas Perkeso. - DagangNews.com