RM4.85 bilion perolehan DRB-HICOM bagi 4Q20 | DagangNews Skip to main content

RM4.85 bilion perolehan DRB-HICOM bagi 4Q20

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. – DRB-HICOM Berhad menyaksikan perolehan mencecah RM4.85 bilion bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (4Q20) dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) bernilai RM948.8 juta.

 

Bagi prestasi sepanjang tahun kewangan 2020 (FY20), DRB-HICOM menyaksikan PBT berjumlah RM540.1 juta, daripada perolehan bernilai RM13.2 bilion.

 

Disebabkan ini merupakan tahun kewangan penuh yang pertama DRB-HICOM untuk tempoh kewangan yang dirombak, oleh itu tiada angka suku tahunan atau tahunan terdahulu bagi perbandingan.

 

Kumpulan syarikat itu memberitahu, prestasi berkenaan telah dipacu oleh sektor automotif dan juga hartanah.

 

“Bagi sektor automotif, DRB-HICOM terus menikmati kesan positif daripada keputusan kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan bagi pembelian kenderaan penumpang.

 

“Perolehan sektor bernilai RM8.0 billion bagi FY20, dan 4Q20 mencatatkan suku terbaik dalam tempoh 12 bulan, dengan nilai perolehan berjumlah RM2.6 billion, meningkat 3% dari suku sebelumnya,” jelas kumpulan syarikat itu dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Untuk rekod, jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia untuk FY20 terkesan akibat pandemik COVID-19, di mana aktiviti ekonomi negara terhenti ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) antara pertengahan bulan Mac ke pertengahan bulan Mei 2020.

 

TIV tahun 2020 dicatat pada 529,434 unit, penurunan 12.4% dari tahun sebelumnya (2019: 604,281 unit).

 

Sementara itu, bagi perolehan DRB-HICOM untuk sektor perkhidmatan pada FY20, kumpulan syarikat itu mencapai RM3.5 bilion, terutamanya didorong oleh prestasi anak-anak syarikat dari sub-sektor pos and logistik, serta operasi perbankan.

 

Bagi 4Q20, DRB-HICOM mencatatkan perolehan berjumlah RM877.4 juta, iaitu prestasi kedua terbaik sektor berkenaan selepas 3Q20 yang mencatatkan perolehan RM918.7 juta.

 

Sektor hartanah pula menerima perolehan bernilai RM1.3 bilion, didorong oleh transaksi pelupusan aset dan pelaburan oleh kumpulan, tambah DRB-HICOM.

 

"Pelupusan yang pertama kali diumumkan pada tahun 2018 sebagai penstrukturan semula operasi sektor hartanah DRB-HICOM, meraih keuntungan RM862.6 juta.

 

"Antara aset yang dilupuskan adalah hartanah pembangunan perumahan, dengan hala-tuju sektor hartanah kini akan tertumpu kepada hartanah perindustrian, melalui aset tanah perindustrian yang luas di negeri Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

 

"Transaksi ini juga menandakan DRB-HICOM meninggalkan industri hospitaliti," ulasnya lanjut.

 

Bagi prospek FY21, sektor automotif akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi DRB-HICOM, jelas kumpulan syarikat itu.

 

DRB-HICOM berkata, dengan lanjutan pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2021, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) optimis bahawa pasaran automotif tempatan akan pulih pada tahun 2021, dengan TIV diunjur meningkat ke 570,000 unit, berbanding 529,434 unit untuk tahun 2020.

 

"Pelancaran pelbagai varian ‘facelift’ dan kempen-kempen promosi yang agresif oleh jenama-jenama kenderaan terkenal di dalam kumpulan akan turut merangsang perniagaan automotif kumpulan dalam tahun kewangan semasa.

 

"Pegangan pasaran Proton telah meningkat kepada 20.5% untuk tahun kalendar 2020 (2019: 16.6%). Proton X50, yang dilancarkan pada bulan Oktober 2020, dan Proton X70 terus menguasai pasaran SUV bagi segmen C dan segmen B, manakala Proton Saga kekal sebagai sedan segmen A yang popular di dalam negara.

 

"Pos Malaysia akan meneruskan inisiatif-inisiatif transformasinya bagi tahun 2021, dengan sasaran peningkatan kecekapan, pengurusan kos dan memanfaatkan peluang pertumbuhan perniagaan," jelasnya lanjut.

 

Di dalam persekitaran ekonomi yang sukar ini, DRB-HICOM menjangkakan FY21 tetap mencabar, dengan perkembangan global berkaitan pengekangan pandemik COVID-19 masih tidak menentu.

 

"Oleh itu, DRB-HICOM akan terus mengguna pakai, atau jika perlu, merancang pendekatan kos pengurusan berhemah yang baharu, di samping memberi fokus untuk memperkukuh segmen-segmen teras kumpulan bagi memastikan kesinambungan perniagaan," ujar DRB-HICOM. – DagangNews.com