RM850 juta laksana 12 agenda utama Belanjawan Johor 2021 | DagangNews Skip to main content

RM850 juta laksana 12 agenda utama Belanjawan Johor 2021

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (tengah) menunjukkan laporan Belanjawan Johor 2021 yang akan dibentangkan pada Persidangan Ke-3 Dewan Negeri Johor Ke-14 hari ini.

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Kerajaan Negeri Johor dijangka membelanjakan sebanyak RM850 juta menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 Agenda Utama Belanjawan Johor 2021.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pada 2021, unjuran hasil negeri sebanyak RM1.61 bilion manakala unjuran perbelanjaan berjumlah RM1.86 bilion. 

 

Katanya, senario ini menunjukkan Belanjawan Johor 2021 adalah belanjawan defisit, iaitu sebanyak RM248.14 juta.

 

“Ya, belanjawan ini adalah belanjawan yang defisit. Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan berfokus,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Persidangan Ke-3 Dewan Negeri Johor Ke-14 hari ini.

 

Hasni berkata, bagi perbelanjaan mengurus yang merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta untuk emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain-lain.

 

Menurutnya, terdapat 2 strategi kewangan bagi Belanjawan Johor 2021, iaitu dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada pada Kerajaan Negeri termasuk menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

 

“PBT akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan menangani COVID-19.

 

“Kerajaan Negeri menerusi GLC juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di Johor,” katanya.

 

Jelas beliau, strategi kedua adalah berpandukan konsep ‘counter-cyclical measures’.

 

“Kerajaan Negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang, sehingga ekonomi negeri kembali mengembang,” katanya.

 

Pada pembentangan itu, beliau menyifatkan Belanjawan Johor 2021 adalah belanjawan yang akan menguruskan krisis dan membendung himpitan, yang sedang dialami rakyat ketika ini. 

 

Hasni menegaskan, pentadbirannya tidak akan berselindung dengan retorika bahawa segalanya akan menjadi baik dan segalanya akan mampu kerajaan uruskan.

 

"Pentadbiran saya akur, bahawa ada perkara yang di luar kawalan kerajaan dan kerana itulah, kita akan sentiasa bersifat realistik dan bertanggungjawab," katanya. – DagangNews.com