Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Mac. - Bantuan kewangan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan akan dibayar mulai 25 Mac 2021 kepada semua PKS mikro yang telah diluluskan di bawah GKP 1.0 dan GKP 2.0.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM883 juta.
"Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai 24 Mac 2021 di Portal GKP, iaitu gkp.hasil.gov.my.
"Mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM3.58 bilion," katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), kerajaan telah mengumumkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM1,000.
Bantuan tersebut adalah melalui Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan kepada PKS mikro di 12 negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada bulan Januari dan Februari 2021 serta RM500 kepada PKS mikro di negeri bukan PKP.
GKP Tambahan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan perniagaan ekoran penularan wabak COVID-19 dan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran serta perkhidmatan PKS mikro. - DagangNews.com