Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Malaysia memerlukan satu dasar yang membolehkan produktiviti pekerja meningkat seperti peluang dari segi latihan dan pembelajaran jangka panjang.
Ini kerana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, rakyat Malaysia akan bekerja lebih lama pada masa akan datang bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan kewangan pada usia tua.
Katanya, dasar-dasar ini membolehkan rakyat Malaysia bekerja lebih lama, lebih sihat untuk tempoh jangka masa panjang dengan pekerjaan yang kurang bergantung kepada fizikal dan tempat kerja yang lebih berorientasikan digital.
"Sehubungan itu, isu penuaan akan menjadi antara tumpuan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi menyediakan persekitaran yang mesra warga emas dan ini akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Laporan Bank Dunia bertajuk 'A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia secara maya hari ini.
Berdasarkan laporan itu, Malaysia dijangka muncul sebagai negara 'komuniti warga emas' menjelang 2056 apabila 20% daripada jumlah populasinya berumur lebih 65 tahun.
Pada tahun ini pula, lebih 7% rakyat Malaysia akan berumur 65 tahun dan ke atas sekali gus menunjukkan negara mencapai masyarakat tua.
Kadar penuaan juga akan meningkat dalam tahun mendatang dengan jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas dijangka sekali ganda kepada 14% menjelang 2044.
Menurut Mustapa, peruntukan perlindungan minimum bagi warga emas akan memerlukan penambahbaikan dalam perlindungan dan skim insurans sosial yang mencukupi.
"Ketika ini, Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berada dalam landasan yang betul.
"Tetapi masih ada ruang untuk memperkukuhkan hubungan antara skim ini dan kerjasama berterusan dengan persatuan industri," katanya.
Beliau berkata, meskipun dengan tindakan proaktif seperti itu, tidak mungkin skim insurans sosial dapat merangkumi seluruh tenaga kerja.
"Dalam hal ini, kemungkinan pencen sosial yang dibiayai oleh cukai secara bersasar dan meluas amat diperlukan," katanya. - DagangNews.com