RMKe-12 disambut positf, tekankan kesejahteraan sosial & perlindungan rakyat | DagangNews Skip to main content

RMKe-12 disambut positf, tekankan kesejahteraan sosial & perlindungan rakyat

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. -  Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) oleh Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri semalam disambut baik oleh pihak industri hartanah kerana menekankan aspek kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat Malaysia di samping memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Dato’ Sri Leong Hoy Kum berkata, pelan pembangunanan lima tahun itu dilihat menjadi kunci utama kepada usaha menghidupkan semula ekonomi pasca pandemik.

"Kami melihat Rancangan Malaysia ke-12 secara positif kerana ia menekankan kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat Malaysia serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi. 

"Ini mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi rakyat dan perniagaan tempatan untuk membina asas yang kuat untuk lima tahun ke depan kerana negara berusaha untuk memastikan pembangunan ekonomi yang lestari dan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, untuk industri harta tanah, sektor swasta turut menyambut baik inisiatif kerajaan untuk menawarkan rumah yang lebih berpatutan untuk B40 dan M40, dengan memainkan peranan untuk menyediakan rumah mampu milik di lokasi strategik dengan susun atur inovatif yang menarik bagi pasaran.

Dalam perkembangan lain, Hoy Kum berkata, Mah Sing akan melanjutkan kempen pemilikan rumah “Mah Sing NOW” sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, di bawah program berkenaan kumpulan hartanah itu menawarkan tiga kaedah kepada pembeli rumah untuk menikmati promosi 'tiga dos'  iaitu 'Own Now', 'Zero Now' dan 'Save Now' bagi unit-unit terpilih yang dibangunkan Mah Sing di seluruh negara.

Antara projek Mah Sing yang tersenarai di bawah program Mah Sing Now termasuklah M Luna (Kepong), M Vertica (Cheras), M Adora (Wangsa Melawati), M Centura (Sentul), M Oscar (Off Kuchai Lama), M Arisa (Sentul), M Aruna (Rawang), Sensory Residence dan Cerrado Suites @ Southville City (KL South).

Dalam pada itu kumpulan hartanah itu juga berharap kerajaan dapat memberikan insentif tambahan kepada pemain industri dan pembeli rumah dengan memperkenalkan langkah-langkah yang lebih mesra keluarga dalam Belanjawan 2022 yang akan datang. -DagangNews.com