KUALA LUMPUR 29 Sept - Pembentangan RMKe-12 oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 September 2021 telah memberikan manfaat dan sinar baharu dalam memperkasakan kehidupan peneroka Felda.
Kerajaan melihat potensi yang dimiliki oleh Felda. Inisiatif-inisiatif proaktif yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan untuk Felda merupakan satu bukti sokongan yang padu dan berterusan bagi memastikan Felda kembali ke era kegemilangan dan kecemerlangan.
Pengerusi Felda, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ketua Peneroka Kebangsaan, Sulong Jamil, mewakili seluruh pengurusan dan warga peneroka menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan yang telah memberi penumpuan kepada pelan pemulihan Felda melalui RMKe-12 bagi membantu agensi itu kembali semula ke landasan kegemilangannya sebagai pemacu pembangunan penempatan negara.
Menurut Idris, pelaksanaan dan usaha Kerajaan melalui penstrukturan semula kewangan Felda melalui pemberian Sukuk bernilai RM9.9 bilion dan Penyelarasan Hutang Pinjaman Peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang memanfaatkan 112, 638 orang peneroka merupakan inisiatif Kerajaan yang paling berimpak tinggi selaras dengan hasratnya untuk memperkasa agensi itu dan taraf sosio-ekonomi warga Felda.
Tambah beliau lagi dengan sokongan kerajaan untuk menjadikan Felda peneraju dalam jaminan makanan negara (national food security) dan pertanian pintar merupakan satu suntikan semangat untuk terus menerajui kepelbagaian pertanian dan penternakan (diversification of crops) yang bernilai tinggi untuk warga Felda terus mampan dan menikmati taraf hidup yang jauh lebih baik.
Penggunaan tanah secara optimum melalui kepelbagaian aktiviti pertanian pintar dan berkelompok semestinya memberikan peluang kepada generasi baharu khususnya dalam meningkatkan ekonomi bidangan melalui penggunaan teknologi termaju untuk meningkatkan kualiti hasil tanaman.
Sementara itu, Sulong Jamil Mohamed Shariff, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan berkata, keprihatinan kerajaan dalam isu perumahan generasi kedua. memberi impak yang positif kepada warga generasi baharu terutaman yang berada di bandar untuk kembali ke kampung halaman dan merancakkan sektor ekonomi tanah rancangan.
RMKe-12 juga dilihat satu aspirasi inklusif yang turut melibatkan usaha kerajaan dalam menambah baik kawalan sempadan dan penguatkuasaan keselamatan di Felda Sahabat terutamanya. Secara tidak langsung pembinaan ini bakal memberi manfaat dalam peningkatan ekonomi dan keharmonian sejagat.
Beliau juga menyatakan penambahbaikan kemudahan infrastruktur perhubungan jalan raya di kawasan rancangan dengan peruntukan RM135.3 juta, menaik taraf fasiliti dan asset perkhidmatan kecemasan pelaksanakan program rebat bil elektrik bakal turut membantu mengurangkan beban kos sara hidup dan menambah baik struktur sosioekonomi warga Felda.
Justeru itu dengan harapan dan tanggungjawap yang diberikan, Felda dan seluruh warganya komited untuk menjadi warga yang mampan dan berdaya saing selaras dengan perubahan globalisasi.
Pengurusan Felda menyambut baik peluang-peluang ini dan akan melaksanakan pengurusan tadbir urus yang cemerlang bagi melonjakkan kembali keyakinan
peneroka dan generasi baru dan seterusnya mewujudkan jalinan ikatan kebersamaan. - DagangNews.com