Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Projek mega Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Johor Bahru (HSR) dijangka dibentangkan dalam Belanjawan 2022 meskipun tidak tersenarai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berpendapat, pembentangan mengenai projek itu akan dibuat setelah melaksanakan perancangan yang lebih teliti dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan.
"Apabila model perkongsian awam dan swasta (PPP) 3.0 dimuktamadkan pada pertengahan tahun hadapan, kami berpendapat, ia mungkin menjadi platform kepada kerajaan untuk melancarkan semula kontrak baharu bagi projek mega dan juga menghidupkan semula MRT3," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam pembentangan RMKe-12 semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model PPP 3.0.
Model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan erajaan dan menggunakan kaedah Permohonan Kertas Cadangan (RFP).
Pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022 yang akan menyaksikan Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.
Antara projek diberi tumpuan di bawah pelan pembangunan itu termasuklah Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu, Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS), Lebuhraya Pantai Barat, Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai.
Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 bilion bagi jumlah perbelanjaan pembangunan di bawah RMKe-12 (2021-2025). Kali ini, menyaksikan peruntukan sebangak RM26 bilion di bawah Agenda Transformasi Sektor Air 2040.
Shahrizan berkata, Gamuda Bhd. dilihat akan mendapat kelebihan apabila projek MRT3 dihidupkan semula manakala HSS dan Taliworks pula meraih manfaat daripada peruntukan untuk sektor air.
CGS-CIMB mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pembinaan dengan risiko penarafan bergantung kepada Belanjawan 2022 dan penangguhan dalam kontrak projek mega baharu.
Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Lum Joe Shen berkata, kebergantungan kerajaan terhadap model PPP dilihat kurang mesra kepada pasaran.
Berdasarkan anggaran dalaman firma tersebut, hutang kepada nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kerajaan Persekutuan akan mencecah 64.5% menjelang hujung tahun ini, melebihi paras siling 60%," katanya.
"Projek MRT3 mungkin memerlukan bantuan dana sektor swasta yang lebih tinggi, kira-kira 10 hingga 30% bagi mengurangkan beban fiskal kerajaan, berdasarkan semakan kami pada April lalu.
"Bagaimanapun, memandangkan pemulihan dari COVID-19 sejak itu, kami percaya ruang fiskal semasa adalah kurang akomodatif dan kami menolak kemungkinan dana sektor swasta yang tinggi (lebih 30%) diperlukan untuk mempercepatkan permulaan projek ini.
"Kami menganggarkan projek MRT3 ini akan menelan kos kira-kira RM32.9 bilion," katanya.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, Kenanga menyemak turun penarafan sektor pembinaan kepada 'neutral' berbanding 'overweight' sebelum ini dengan menjangkakan pelancaran kontrak dibuat secara berperingkat-peringkat apabila memasuki 2022. - DagangNews.com