Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang dilihat menggariskan pelan berani dan bercita-cita tinggi bukan sahaja mampu melonjakkan ekonomi negara, malah menstranformasikan struktur tersebut.
Firma penyelidikan, MIDF Research percaya rancangan itu merangkumi usaha yang bernilai tinggi dan dalam masa sama diperlukan, bagi mengurangkan impak pandemik COVID-19.
Berdasarkan pembentangan RMKe-12, sektor teknologi sama ada melibatkan aspek perisian mahupun perkakasan merupakan penerima manfaat jelas kerana dipilih untuk menjadi asas dan sokongan kepada beberapa inisiatif, kata firma itu.
“Dalam pandangan kami, teknologi bukan sahaja akan diadaptasi untuk menyelesaikan isu sektor lain, tetapi ia juga mendatangkan impak tidak langsung, antara lainnya seperti meningkatkan produktiviti, manfaat pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan daya saing.
“Teknologi akan menjadi pendaya utama untuk memastikan sektor lain menambah baik rantaian nilai. Kami percaya benefisiari utama adalah sektor teknologi kerana ini akan menjadi pemacu untuk mencapai matlamat digariskan RMKe-12,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membentangkan RMKe-12 di Dewan Rakyat yang menumpukan beberapa matlamat utama termasuk pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5% hingga 5.5% setahun dalam tempoh 2021-2025 dan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025.
Selain itu, turut menggariskan matlamat untuk mencapai jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 : 2.5 manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 : 1.2 pada tahun 2025; dan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45% kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.
Mengulas mengenai impak RMKe-12 ke atas pasaran ekuiti, MIDF tidak melihat impak positif pembentangan itu seperti melonjakkan aktiviti pembelian akan dapat dilihat dalam masa terdekat ini.
Namun, sekiranya rancangan itu dilaksanakan dengan betul, firma tersebut tidak menolak kemungkinan RMKe-12 mampu meningkatkan profil risiko atau pulangan Malaysia yang akan dicerminkan menerusi penarafan kredit berkanun dan penerimaan pelaburan global.
“Oleh itu, dalam jangka masa panjang, langkah mengurangkan risiko berkanun dan negara sehingga menarik pulangan yang diperlukan lebih rendah akan secara semula jadi memacu penilaian pasaran lebih tinggi.
“Kesimpulannya, impak positif RMKe-12 terhadap pasaran ekuiti akan berlaku dalam tempoh masa yang panjang,” tambah MIDF. - DagangNews.com