RMKe-12 : TNB, Malakoff, Cypark antara raih manfaat dalam tumpuan kerajaan terhadap pertumbuhan hijau | DagangNews Skip to main content

RMKe-12 : TNB, Malakoff, Cypark antara raih manfaat dalam tumpuan kerajaan terhadap pertumbuhan hijau

Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. - Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Malaysia akan menyaksikan lebih banyak pelaburan dalam sistem grid sejajar dengan tumpuan kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ngo Siew Teng berkata, pelaburan dalam sistem grid secara dasarnya diperlukan dalam memudahkan peralihan tenaga ke arah negara rendah karbon. 

 

Pada masa sama katanya, ia juga akan menyaksikan tenaga diperbaharui (RE) semakin berkembang kukuh dan menyediakan lebih banyak peluang kepada pemain industri terlibat.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan meraih manfaat menerusi peluang dalam RE dan juga tambahan pelaburan menerusi sistem grid. 

 

"Pemain lain seperti Malakoff Corp. Bhd. dan Cypark Resources Bhd. juga akan mendapat kelebihan menerusi inisiatif ini.

 

"Di samping itu, permintaan gas di peringkat domestik yang tinggi pula, sepatutnya memanfaatkan pemain industri gas seperti Petronas Gas Bhd. dan Gas Malaysia Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan kepada komitmen kerajaan ini, CGS-CIMB secara keseluruhan mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor utiliti dengan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 berbanding 2020. 

 

Firma itu memilih saham TNB dan Petronas Gas sebagai pilihan utama dengan masing-masing diberi saranan 'tambah' dengan harga sasaran pada RM13.40 dan RM17.70. 

 

Di bawah pelan pembangunan 5 tahun ini, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMKe-12 berkata, kerajaan akan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan meskipun Malaysia hanya menyumbang 0.7% kepada pelepasan gas rumah kaca.

 

Inisiatif itu adalah sejajar dengan usaha Malaysia untuk muncul sebagai negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050. 

 

Bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan. 

 

Perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir 2022. 

 

Sehubungan itu, Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon. 

 

Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, komitmen kerajaan untuk menghentikan pembinaan loji jana kuasa yang baharu adalah positif dan mampu mencapai sasaran pelepasan karbon bagi sektor tersebut.

 

Setakat ini, loji jana kuasa Jimah East dengan kapasiti 2000MW yang dibina TNB telah pun beroperasi pada 2019, yang mana ia merupakan Perjanjian Pembelian Tenaga bagi batu arang terakhir, akan tamat pada 2044.

 

Mengenai Dasar Tenaga Negara, firma itu berkata, ia akan meningkatkan sumbangan penjanaan tenaga berasaskan gas dalam sektor tenaga. 

 

"Antara 2022 hingga 2039, grid itu dianggar menyaksikan peningkatkan kapasiti sebanyak 12,000MW bagi Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) dan 100MW OCGT.

 

"Dengan mengambil kira loji yang akan tamat tempoh operasi, sumbangan menerui loji jana kuasa gas kepada gabungan kapasiti dijangka meningkat daripada 44% pada 2022 kepada 47% menjelang 2039, manakala sumbang loji batu arang pula berkurangan daripada 37% pada 2022 kepada 22% pada 2039," jelasnya.

 

Menurut MIDF, dari segi inisiatif RE, pemain industri termasuk Ranhill Utilities Bhd dan TNB akan meraih paling banyak manfaat. 

 

Selain itu, ia juga memberi kelebihan buat pemain lain seperti Solarvest Holdings Bhd., Samaiden Group, Pekat Group Bhd. dan Cypark.

 

Dalam pada itu, mengenai pelaksanaan sama ada cukai karbon atau mekanisme sistem perdagangan pelepasan (ETS), firma itu berpendapat, adalah penting untuk memastikan harga karbon diperkenalkan secara berperingkat dengan fasa pengenalan dan tinjauan berkala terhadap kadar cukai karbon. 

 

Katanya, ia penting bagi memastikan industri dan syarikat yang beralih kepada operasi rendah karbon mampu menguruskan kesan kos tambahan harga karbon ini terhadap daya saing negara. 

 

"Hasil daripada inisiatif penentuan harga karbon kemudiannya dapat dilaburkan semula ke dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau pembiayaan teknologi pengurangan karbon/karbon rendah serta diagihkan semula (sebagai rebat cukai karbon) untuk meminimumkan kesan kepada isi rumah berpendapatan rendah," jelasnya. - DagangNews.com