Roborock perkenal 3 model vakum robot S8 Series berkuasa tinggi | DagangNews Skip to main content

Roborock perkenal 3 model vakum robot S8 Series berkuasa tinggi

Joan Hu, Elvis Wang dan Pengarah Tonboo International, Andy Ma di majlis pelancaran Roborock Malaysia dan Roborock S8 Series pada 23 Mac 2023.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Roborock memperkenalkan tiga model robot vakum S8 Series baharu yang dipertingkatkan dengan kuasa sedutan 6,000Pa dan dua berus penggulung.

 

Tiga model ditawarkan adalah Roborock S8, Roborock S8+ dan Roborock S8 Pro Ultra mampu membersihkan kotoran dengan lebih baik di samping menangani rambut dengan lebih berkesan, sesuai untuk mereka yang memiliki haiwan peliharaan di dalam rumah.

 

Model teratas dalam siri ini, S8 Pro Ultra menampilkan sistem RockDock Ultra baharu yang menyediakan pembersihan mop automatik, pengosongan dan pengisian semula habuk serta ‘self-cleaning’, di mana vakum itu boleh membersih sendiri dan mempunyai pengeringan udara panas bagi menghalang kulat dan bau pada pad mop dan dok.

 

Selain itu, berus model tersebut akan naik 6mm secara automatik untuk mengelakkan pencemaran silang apabila berada dalam mod mengemop atau kembali ke stesen dok.

 

 

Roborock S8 Series

 

 

Sistem Mop VibraRise 2.0 pada S8 Pro Ultra dan S8+ bergetar 3,000 kali seminit untuk menghilangkan kotoran dari lantai, di mana S8 Pro Ultra juga menawarkan dua mod getaran untuk pembersihan terbaik.

 

Pengarah Jualan Luar Negara Roborock, Elvis Wang menjangkakan industri akan terus berkembang pada tahun mendatang, didorong oleh peningkatan pembandaran, peningkatan pendapatan dan trend ke arah rumah pintar.

 

“Sebagai jenama produk pembersih vakum mewah dengan harga berpatutan, kami akan terus mempertimbangkan harga, menggalakkan kesedaran pengguna dan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih memuaskan,” katanya dalam majlis pelancaran S8 Series semalam.

 

Pengarah Asia Pasifik Roborock, Joan Hu mengulas lanjut bahawa syarikat tersebut yakin dengan pertumbuhan pasarannya di Malaysia dan merancang untuk membuka kedai runcit bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih lengkap untuk pelanggan.

 

 

roborock
Daphne Iking (enam dari kanan) dan pengulas gadget di YouTube, Adam Lobo (lima dari kanan) turut memeriahkan majlis pelancaran semalam.

 

 

Untuk S8 Series, Roborock menampilkan selebriti Daphne Iking sebagai antara yang terawal mencuba model tersebut, di mana menurut beliau sebagai seorang ibu anak empat, vakum tersebut memudahkan tugasan rumah dan memberinya masa untuk diri sendiri.

 

“Terdapat vakum sukar dibersihkan apabila rambut panjang disedut kerana perlu digunting rambut yang bergulung di berus namun untuk produk ini, hanya buka ruangan sampah dan buang terus,” katanya yang teruja berkongsi pengalaman mengguna robot vakum itu.

 

Siri Roborock S8 boleh didapati di kedai AiHome di IOI City Mall, One Utama, Mid Valley Megamall, Setapak Central Mall, Sunway Velocity, dan iGadgets Pavilion Bukit Jalil, serta di Shopee dan Lazada mulai Mac 2023.

 

Roborock S8 Pro Ultra berharga RM5,599, Roborock S8+ berharga RM3,999 dan Roborock S8 berharga RM2,699. -DagangNews.com