Rokok Seludup Kembali Meningkat ke Tahap 58.4% | DagangNews Skip to main content

Rokok Seludup Kembali Meningkat ke Tahap 58.4%

Kerajaan dijangka kehilangan lebih banyak hasil cukai tidak dikutip tahun ini berikutan tahap perdagangan rokok seludup yang tinggi,” kata Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM).

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kajian Rokok Seludup (ICS) terbaru di Malaysia (Mac 2022) yang dijalankan oleh Nielsen, sebuah syarikat penyelidikan pasaran antarabangsa, mendedahkan bahawa kejadian rokok seludup telah mencecah 58.4% pada Mac 2022 berbanding 54.6% yang dicatatkan untuk Disember 2021.

 

Sementara CMTM memuji Kerajaan atas langkah-langkah tegas yang diumumkan semasa Belanjawan Negara 2021 seperti mengehadkan transhipment dan eksport semula rokok, yang telah membawa kepada pengurangan awal gejala rokok seludup daripada rekod tertinggi 63.8%, sindiket penyeludupan kini telah mengubah modus operandi mereka kepada kawasan pantai untuk memintas langkah-langkah ini.

 

Permintaan terhadap rokok seludup terus didorong oleh harganya yang sangat murah.

 

Kerajaan dijangka kehilangan lebih banyak hasil cukai tidak dikutip tahun ini berikutan tahap perdagangan rokok seludup yang tinggi,” kata jurucakap Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM).

 

“CMTM menjangkakan perdagangan rokok seludup akan berkembang lebih jauh berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia dan penyambungan semula perjalanan antarabangsa. Kerajaan harus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di pintu masuk di sepanjang sempadan Malaysia, terutamanya di kawasan pantai.

 

"Pasukan Petugas Pelbagai Agensi, yang diketuai oleh Kementerian Kewangan, harus mengadakan pasukan petugas yang khusus, terdiri daripada agensi penguatkuasaan yang berkaitan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin, Kastam serta Tentera Laut untuk membuat rondaan di sepanjang kawasan panas pantai bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan..

 

“Selain itu, Kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menggunakan undang-undang yang lebih ketat melalui pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi  memberi kuasa dan memperkasa agensi penguatkuasaan dengan kuasa penyiasatan yang lebih luas untuk menangani struktur kompleks sindiket penyeludupan dengan berkesan.”


 

cmtm

 


Pada masa yang sama, langkah-langkah anti-perdagangan rokok seludup yang telah pun dilaksanakan sejak 2021 mesti dikekalkan dan dikuatkuasakan dengan berkesan, ditambah pula dengan moratorium kadar eksais tembakau, untuk mengekang permintaan pasaran gelap. CMTM juga menyeru agar kerjasama erat secara berterusan antara industri dan Kerajaan untuk menangani masalah rokok seludup melalui Pasukan Petugas Pelbagai Agensi.

 

Akhir sekali, CMTM amat percaya bahawa Kerajaan harus mengutamakan usahanya untuk mengurangkan kelaziman rokok seludup di negara ini sebelum mempertimbangkan dasar baharu seperti Generation End Game, Pembungkusan Biasa dan Larangan Paparan Runcit, yang akan menyebabkan akibat-akibat yang tidak diingini, termasuk peningkatan besar-besaran rokok seludup di pasaran. - DagangNews.com