Roslan Abdullah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton bermula 1 Januari 2022 | DagangNews Skip to main content

Roslan Abdullah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton bermula 1 Januari 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Proton mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkuat kuasa 1 Januari 2022 bagi menggantikan Datuk Radzaif Mohamed yang bersara pada hujung tahun lalu.

 

Beliau sebelum ini adalah Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Proton dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Proton Edar Sdn. Bhd. (PESB) sejak 1 Jun 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, pemegang ijazah sarjana Kewangan dan Perakaunan daripada Universiti Brighton itu mempunyai pengalaman tiga dekad dalam bidang automotif.

 

Beliau berkata, Roslan juga pernah menggalas dua tanggungjawab iaitu selaku Presiden dan juga Ketua Pegawai Operasi sewkatu bersama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Isuzu Hicom Malaysia dan Honda Malaysia.

 

“Roslan Abdullah telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan pengurusan Proton dan memberi panduan secara menyeluruh kepada perniagaan khususnya mengkuhkan fungsi pemasaran dan jualan. 

 

"Saya yakin kita mampu menjalinkan kerjasama yang erat untuk memacu syarikat ke arah kejayaan," katanya. 

 

poton
Roslan Abdullah

 

Chunrong juga menzahirkan penghargaan terhadap Radzaif yang dilantik menjawat jawatan berkenaan pada 1 April 2016 dan memainkan peranan penting dalam memantau perkongsian di antara DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding (Geely) sehingga kini. 

 

"Proton merakamkan jutaan terima kasih kepada Datuk Radzaif atas segala sumbangannya sehingga kami berjaya mencapai kejayaan besar hari ini.

 

"Sumbangan dan kepemimpinannya sepanjang menjawat jawatan berkenaan tidak ternilai harganya," katanya. - DagangNews.com