Rosyam Nor dilantik sebagai Duta Keusahawanan PKNS  | DagangNews Skip to main content

Rosyam Nor dilantik sebagai Duta Keusahawanan PKNS 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon (kiri) menyampaikan surat lantikan Duta Keusahawanan PKNS kepada Datuk Rosyam Nor di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam, Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melantik pelakon dan selebriti terkenal yang juga usahawan berjaya, Datuk Rosyam Nor sebagai Duta Keusahawanan PKNS.

 

PKNS berkata, pelantikan itu bagi mengukuhkan lagi peranannya dalam memperkasakan program keusahawanan secara menyeluruh kepada semua peringkat masyarakat.

 

Katanya, pemilihan Rosyam bukan sahaja kerana namanya yang besar dalam industri hiburan tetapi juga kerana pengalaman luas beliau hampir 20 tahun dalam bidang usahawan sebagai penerbit filem agro dan peruncitan.

 

"Pelantikan beliau sebagai jurucakap dilihat mampu memberi impak yang lebih baik bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti keusahawanan yang dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU)  kepada usahawan di seluruh negara khususnya di negeri Selangor.

 

"Memandangkan penggunaan media sosial sangat aktif di kalangan masyarakat kini, peranan duta keusahawanan ini menjadi ‘crowd puller’ kepada pengikut beliau di laman sosial di samping membuat hebahan mengenai program-program anjuran BPU menerusi semua platform hebahan sedia ada iaitu suratkhabar, radio, risalah, taklimat fizikal malah di semua peringkat platform digital. 

 

"Ini menunjukkan kesungguhan BPU dalam merangka aktiviti untuk usahawan seluruh negara bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pelbagai program baharu bakal dirangka di samping penambahbaikan program sedia ada bagi tujuan memastikan kesemua inisiatif yang dilaksanakan mampu memenuhi kehendak usahawan pada masa kini demi mewujudkan masyarakat yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

 

Katanya, komitmen PKNS dalam memperkukuhkan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan serta swasta memainkan peranan penting dalam mewujudkan ekosistem keusahawan yang holistik dan lestari dalam pembangunan sektor keusahawanan terutama di Selangor.

 

"PKNS menerusi BPU telah melaksanakan pelbagai program keusahawanan sejak 1995 dan memberi tumpuan kepada penambahan skop baharu seperti Pembangunan Produk, Usahawan untuk Pasaran Retail, Export Ready, Inisiatif Halal, Urban/Rural Entrepreneur Center serta lain-lain inisiatif baharu," katanya. - DagangNews.com