Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Elmina arah utara akan ditutup selama empat bulan bermula 7 Oktober 2020.
Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), PROLINTAS Expressway Sdn. Bhd. (PESB) berkata, penutupan sementara selama empat bulan itu dijadualkan dibuka semula pada pertengahan Februari 2021.
"Oleh itu, semua gerai dan kemudahan seperti tandas dan surau tidak beroperasi sepanjang tempoh berkenaan untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan.
"Kerja-kerja penambahbaikan ini adalah komitmen berterusan Kumpulan PROLINTAS dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh rayanya," jelas PROLINTAS dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, GCE turut menyediakan kemudahan sementara untuk memberi keselesaan kepada pengguna.
"Antara kemudahan yang disediakan di Hentian Sebelah Lagong adalah tandas, surau, gerai makanan (food truck) serta tempat rehat dan pakir.
"Sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh menghubungi talian bebas tol GCE 1-300-88-0035 serta maklumat semasa di Twitter @GCEtrafik atau Facebook PROLINTAS Highways," jelas PROLINTAS lagi. - DagangNews.com