Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Pengeluar sarung tangan Rubberex Corp (M) Bhd bercadang untuk bekerjasama bagi pembangunan dan operasi Empire City Mall yang kini sedang dibina sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan Empire City Damansara (ECD).
Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia, Rubberex mengumumkan kerjasama dengan Alliance Premier Sdn Bhd, EXSIM Holdings Sdn Bhd dan JT Momentum Sdn Bhd menerusi syarikat usaha sama Alliance Empire Sdn Bhd.
Syarikat itu kemudiannya menamakan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Lim Chee Lip untuk menerajui projek tersebut dan telah menandatangani perjanjian langganan saham bersyarat dengan Alliance Empire untuk melanggan saham di syarikat itu.
"Pelaburan tersebut mewakili 20% ekuiti di dalam Alliance Empire dengan harga RM180 juta yang akan dipenuhi secara tunai," kata Lim.
Katanya, usaha mempelbagaikan pendapatan syarikat yang dicadangkan berikutan prospek industri sarung tangan getah yang semakin berkurang dan harga yang sebelum ini melonjak menuju fasa normalisasi ketika negara memasuki fasa endemik.
"Memanfaatkan tema pembukaan dan pemulihan ekonomi global semasa, usaha pertama dan kepelbagaian kami ke dalam pelaburan harta tanah sejajar dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memberikan pertumbuhan yang berlanjutan, pendapatan yang mantap dan penciptaan nilai kepada para pemegang saham", katanya.
Empire City Mall mempunyai keluasan kira-kira 1.7 juta kaki persegi termasuk sejumlah 8,572 tempat letak kereta.
Terletak secara strategik di pusat bandar Petaling Jaya, ia dikelilingi oleh kawasan bandar membangun dengan kepadatan tinggi antaranya Petaling Jaya, Damansara Perdana, Damansara Utama, Kota Damansara, Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara, Damansara Damai, Bangsar dan Kepong dan mudah diakses melalui lebuh raya utama.
Dalam pemfailan bursa sahamnya, Rubberex juga menyatakan bahawa Empire City Mall secara bebas bernilai RM1 bilion dan cadangan langganan sahamnya akan membolehkan kumpulan itu menempatkan syarikat dalam kedudukan strategik dalam projek pembangunan harta tanah campuran.
"Pelaksanaan latihan langganan dan diversifikasi yang dicadangkan dijangka selesai pada awal 2022," katanya. -DagangNews.com