Rubberex dapat kelulusan pemegang saham ambil alih Reszon Diagnostics bernilai RM180 juta | DagangNews Skip to main content

Rubberex dapat kelulusan pemegang saham ambil alih Reszon Diagnostics bernilai RM180 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Sept - Rubberex Corp. (M) Bhd. memperoleh kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk mengambil alih 100% kepentingan dalam Reszon Diagnostics International Sdn. Bhd. dengan pertimbangan pembelian berjumlah RM180 juta. 

 

Pengarah Eksekutif Rubberex, Goh Hsu-Ming berkata, pengambilalihan tersebut memberi peluang yang baik kepada kumpulan untuk menceburi sektor penjagaan kesihatan.

 

Katanya, ini memandangkan wabak COVID-19 telah meningkatkan kesedaran kesihatan dan keselamatan serta mewujudkan permintaan yang tinggi untuk produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan di pasaran.

 

"Dengan mempelbagaikan penawaran produk dalam pasaran, ia secara tidak langsung akan meningkat profil syarikat.

 

"Walaupun perniagaan penjagaan kesihatan adalah pelengkap dan sinergi kepada perniagaan sarung tangan, tetapi mempelbagaikan penyertaan dalam penjagaan kesihatan adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan kumpulan untuk menceburi perniagaan lain yang menjana pendapatan  menguntungkan dan mampan untuk jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, dalam EGM tersebut juga, Rubberex memperoleh kelulusan pemegang saham bagi cadangan pertukaran namanya kepada Hextar Healthcare Bhd. 

 

Sementara itu, pemilik dan pemegang saham tunggal terbesar Rubberex, Datuk Eddie Ong Choo Meng menyifatkan pertukaran nama itu mencerminkan perniagaan teras kumpulan dan usaha ke arah sektor penjagaan kesihatan yang lebih luas pada masa hadapan.

 

"Kami percaya identiti baharu Rubberex, di bawah keluarga Hextar yang lebih besar, akan membuka laluan kepada trajektori pertumbuhan baharu dari segi pasaran, rangkaian dan saluran pengedaran, sama ada di Malaysia mahupun di persada antarabangsa," katanya.

 

Secara keseluruhan, Rubberex menjangkakan kesemua cadangan berkenaan dapat diselesaikan tahun ini. - DagangNews.com