Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 1QFY24 susut 20.8% kepada RM178 juta | DagangNews Skip to main content

Rugi bersih Lotte Chemical Titan pada 1QFY24 susut 20.8% kepada RM178 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Berhad bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) menyusut sebanyak 20.8% kepada RM178 juta berbanding RM224.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya didorong hasil lebih baik daripada produk olefin dan derivatif (O&D).

 

Bagaimanapun, hasil kumpulan pada suku berkenaan menyusut kepada RM1.92 bilion berbanding RM1.97 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi produk O&D meningkat daripada RM358.8 juta kepada RM405.3 juta disokobg purata harga jualan (ASP) yang lebih baik selain pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit tetapi ia sebahagiannya diimbangi penyusutan jumlah jualan.

 

Katanya, segmen produk polefin menyusut kepada RM1.6 bilion kepada RM1.5 bilion pada 1QFY24 disebabkan jumlah jualan yang rendah selain berdepan tekanan daripada marin yang rendah serta ASP yang rendah. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical, Park Hyun Chul berkata, pihaknya kekal berhati-hati dalam menguruskan perniagaanketidaktentuan harga minyak, lebihan petrokimia, serta kelembapan dalam aktiviti ekonomi akibat tekanan inflasi dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

 

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran, kumpulan itu berazam memajukan operasinya dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran.

 

"Dengan kadar penggunaan  sebanyak 65%, kami akan focus pada mengoptimumkan output pengeluaran, melaksanakan amalan pengurusan kos dan aliran tunai yang cekap, dan meletakkan kumpulan untuk kemampanan jangka panjang.

 

"Kumpulan ini komited kepada pemulihan kilang dalam tempoh yang akan datang, memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan, meningkatkan prestasi dan keselamatan kilang dengan ketara.

 

"Pada masa yang sama, pembinaan Projek Etilena Baharu (LINE) Lotte Chemical Indonesia sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2025," katanya. - DagangNews.com