Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Dis - Keputusan mengenai penggunaan model Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) dalam pelaksanaan teknologi 5G di negara ini membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Digital Nasional Bhd. (DNB) dan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) mungkin tertangguh lagi meskipun perbincangan sedang berjalan ketika ini, menurut Kenanga Research dalam nota kajiannya hari ini.
Malaysia memilih model SWN dengan menubuhkan sebuah syarikat milik penuh kerajaan iaitu DNB bagi mengendalikan pembinaan prasarana sementara syarikat telekomunikasi yang akan melaksanakan tindakan atau peranan untuk menjalankan perniagaan 5G runcit.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi video di laman Facebook miliknya menyatakan bahawa Digital Nasional Bhd (DNB) boleh menjadi skandal lebih besar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada 7 Disember lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kabinet akan membuat keputusan muktamad mengenai model borong tunggal bagi pelancaran rangkaian 5G menjelang Januari 2022 selepas menerima maklum balas daripada syarikat telekomunikasi dan peserta industri.
Penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang berkata, walaupun kebimbangan tersebut sedang dibincangkan antara DNB dan MNO, tetapi DNB didapati semakin akur dengan permintaan MNO.
"Di sebalik mengharapkan pihak-pihak berkaitan (MNO, DNB, SKMM) dapat mencapai kata sepakat dan menandatangani perjanjian pada suku pertama 2022, kami kekal berhati-hati dan percaya akan terdapat penanguhan seterusnya," katanya.
Baca : TM, YTL Communications jadi pengendali pertama sedia perkhidmatan 5G di Malaysia
Minggu lalu, Telekom Malaysia Bhd. (bagi unifi mobile) dan YTL Communications Sdn. Bhd. (bagi YES) menjadi 2 operator pertama yang menyediakan akses kepada 5G di negara ini.
Kedua-duanya akan memanfaatkan tawaran DNB bagi perkhidmatan borong 5G percuma kepada semua pengendali rangkaian mudah alih yang disepadukan dalam rangkaian DNB.
Namun, Khai Xhiang berkata, MNO yang lebih besar (Celcom Axiata Bhd., Digi.Com Bhd., Maxis Bhd. dan U Mobile Sdn. Bhd.) dilihat tidak terburu-buru menyertai rangkaian borong DNB.
Berbeza dengan jangkaan awal bahawa penyertaan YES dan unifi akan memberi tekanan kepada MNO, tetapi sangkaan itu meleset sama sekali.
Berdasarkan semakan yang dijalankannya baru-baru ini, MNO tersebut tidak berasa tertekan, malah terdapat 2 faktor yang menyebabkan mereka belum bersedia menandatangani SWN ini.
"Pertama, kekurangan dari segi perjanjian harga dan tahap perkhidmatan. Kedua-dua perkara berkenaan masih dalam perbincangan antara syarikat telekomunikasi dan DNB, dan juga sedang menanti kelulusan SKMM.
"Tanpa jaminan kualiti dalam perjanjian tahap perkhidmatan, kami mengesyaki MNO bimbang mengenai kemungkinan rangkaian 5G yang lemah pada mulanya (mungkin daripada rangkaian SWN) boleh menggagalkan jaminan kualiti perkhidmatan syarikat telekomunikasi.
"Keduanya, liputan yang lemah dalam fasa awal rangkaian boleh menjejaskan reputasi MNO terutama dari segi kualiti perkhidmatan kerana mereka berhati-hati untuk tidak mengenakan caj kepada pelangan terhadap rangkaian yang mereka hanya mempunyai sedikit kawalan," jelasnya.
Menurut beliau, jika dibandingkan dengan negara serantau lain di Asia Tenggara dan Asia Timur, Malaysia ketinggalan dari segi pelancaran 5G dengan kebanyakan ekonomi serantau sudahpun melancarkan teknologi ini pada 2019 dan 2020.
Katanya, pelancaran 5G di negara mungkin akan perlahan antaranya, disebabkan tidak semua peranti adalah serasi dengan 5G DNB.
"Sesetengah telefon, contohnya iPhone, belum lagi serasi dengan rangkaian 5G DNB kerana perlu mempunyai pensijilan peranti dan kemas kini perisian daripada pengeluar peranti untuk membolehkan sambungan ke rangkaian 5G DNB," katanya.
Beliau juga mendapati hanya 10% sahaja pengguna mudah alih bagi unifi mobile dan YES dengan insentif yang sedikit untuk pengguna lain beralih kerana mereka turut mengambil kira jangkaan sambungan 5G yang tidak lancar.
"Bagaimanapun, kami meramalkan perubahan yang minimum beberapa bulan akan datang jika unifi mobile dan YES kekal menjadi pengendali yang menawarkan perkhidmatan 5G," tambahnya.
Melihat kepada peranti dan liputan 5G yang terhad ini, Khai Xhiang berpendapat ia bukan satu ancaman kepada MNO besar untuk menyertai rangkaian borong DNB seperti mana unifi mobile dan YES.
Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi dengan menyemak naik penarafan Digi dan Maxis kepada 'market perform' daripada 'underperform' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) masing-masing RM3.80 dan RM4 berikutan pembetulan harga saham mereka baru-baru ini.
Firma itu juga meletakkan Axiata Bhd. sebagai pilihan utama dengan saranan 'outperform' (TP : RM4.30) kerana pendedahannya dalam pasaran serantau, pertumbuhan edotco dan perniagaan digital. - DagangNews.com