Sabah, Petronas lancar Pelan Induk Gas Sabah | DagangNews Skip to main content

Sabah, Petronas lancar Pelan Induk Gas Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor melancarkan Pelan Induk Gas Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Kerajaan Sabah dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melancarkan Pelan Induk Gas Sabah dalam kerjasama bagi memacu pelaburan sumber gas asli negeri itu.

 

Pelan induk tersebut merupakan hasil kajian dan bukti usaha kolaboratif antara kedua-dua pihak untuk mengejar potensi penuh industri gas asli domestik secara mampan.

 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri terus membangunkan infrastruktur berkaitan dengan keperluan minyak dan gas. 

 

"Kami menghargai kerjasama Petronas dalam Pelan Induk Gas Sabah, termasuk usaha untuk merangsang ekosistem pelaburan menarik dan berdaya saing untuk pelabur.

 

"Kami akan terus berusaha untuk pembangunan saksama bagi memastikan terdapat banyak peluang untuk rakyat Sabah berkembang dan mereka akan menikmati faedah daripada usaha yang dijalankan," katanya ketika pelancaran Pelan Induk Gas Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

 

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik.

pelan

Dalam perkembangan sama, Mohd. Bakke pula berkata, Petronas komited menyokong Sabah mencapai aspirasinya dengan pembangunan mampan industri gas asli negeri. 

 

"Kami percaya Pelan Induk Gas Sabah memberikan kesaksian kukuh kepada visi bersama ini akan membantu membentuk landskap masa depan Sabah untuk kemakmuran bersama negara dan bangsa.

 

"Kami berharap untuk membina hubungan kukuh dengan kerajaan negeri sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif," katanya.

 

Pelan Induk itu mengetengahkan tiga peluang pelaburan utama yang berlainan ciri untuk sumber gas asli Sabah, yang pertama ialah pembinaan loji gas asli cecair (LNG) dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (MTPA) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.

 

Kemudahan LNG yang pertama di negeri ini akan memberi peluang kepada Sabah mengembangkan pengedaran LNG di seluruh negeri melalui aktiviti seperti sistem saluran paip maya, membolehkan lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.

 

Kerajaan negeri akan mengambil peranan yang lebih menonjol dalam menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas di Sabah dengan 120 MMscfd bekalan gas akan disediakan bagi pembangunan industri utama di negeri itu.

 

Gas asli itu akan dibekalkan dari Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis dan Terminal Gas Sabah di Tuaran.

 

Pelan induk turut mengetengahkan set pilihan derivatif petrokimia untuk Sabah menarik pelabur berdasarkan keperluan pasaran, pandangan masa depan dan memanfaatkan bahan mentah yang tersedia dalam negara. - DagangNews.com