Sage bantu syarikat Malaysia perkasa digital | DagangNews Skip to main content

Sage bantu syarikat Malaysia perkasa digital

Oleh YEO LI SHIAN

lishian@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR, 21 Okt. – Transformasi digital dalam landskap kewangan dan perakaunan harus diutamakan bagi memacu pemulihan dan kelangsungan syarikat khususnya ketika negara berdepan dengan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut Naib Presiden dan Pengarah Urusan Sage Asia, Arlene Wherrett, kehadiran pandemik di luar jangkaan kali ini telah mendorong banyak syarikat beralih kepada pendigitalan demi memperkasakan tahap kecekapan kewangan perniagaan mereka.

“Pendigitalan amat mustahak pada ketika ini kerana syarikat perlu meningkatkan tahap produktiviti dan menyesuaikan diri dengan peluang baharu untuk pulih serta terus berinovasi di peringkat global,” kata Wherrett dalam satu kenyataan hari ini.

Arlene Wherrett

 

Sebagai peneraju pasaran global dalam bidang penyelesaian pengurusan perniagaan berasaskan cloud, Sage telah membantu melancarkan proses perniagaan lebih 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia sejak penubuhannya dua dekad yang lalu.

Mengikut anggaran, sebanyak 2.5 juta slip gaji di Malaysia kini diproses dengan perkhidmatan Sage Payroll dan Sage EasyPay pada setiap bulan.

Kecemerlangan usaha Sage dalam memacu pendigitalan landskap kewangan dan perakaunan demi membantu PKS di Malaysia meneruskan kelangsungan perniagaan mereka turut diiktiraf oleh firma penyelidikan dan perundingan global, Frost & Sullivan pada awal Oktober lalu.

“Pengiktirafan bagi kategori Perisian Perakaunan Kewangan dan Vendor Perisian ERP 2020 yang diterima ini membuktikan komitmen berterusan Sage dalam memperkasakan kecekapan kewangan pelanggan dan rakan niaga selama ini,” tambahnya. – DagangNews.com