Saham bank, telco ungguli KLCI minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Saham bank, telco ungguli KLCI minggu lalu

Telco dan bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Mac. - Indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI meningkat 1.4% minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

 

CGS-CIMB Research berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan sektor perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi sekali gus menutup kerugian dalam sektor kesihatan dan teknologi.

 

"Pelabur membuat pembelian saham sektor perkhidmatan kewangan seiring dengan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%, 4 Mac baru-baru ini.

 

"Perkara tersebut secara tidak langsung memberi prospek pendapatan yang positif kepada bank," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian sama, CGS-CIMB Research memberitahu, peruncit tempatan adalah pembeli bersih secara keseluruhan saham kecuali dalam sektor tenaga, produk pengguna dan pembinaan.

 

Kumpulan tersebut mencatatkan pembelian terbesar dalam sektor perkhidmatan kewangan (+RM101 juta) dan utiliti (+RM80 juta).

 

Pelabur asing pula mencatatkan pembelian bersih terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan (+RM294 juta), perkhidmatan kewangan (+RM55 juta) dan tenaga (+RM41 juta).

 

Kumpulan pelabur asing merupakan penjual bersih terbesar dalam sektor teknologi dan utiliti minggu lalu.

 

Aliran pembelian bersih calon tempatan kebanyakannya lebih cenderung kepada produk perindustrian dan sektor penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan itu adalah penjual bersih di sektor produk pengguna, tenaga dan perkhidmatan kewangan.

 

Dalam konteks pelabur institusi tempatan pula, kumpulan itu merupakan penjual saham penjagaan kesihatan terbesar (-RM325 juta), produk industri (-RM123 juta) dan perkhidmatan kewangan (-RM115 juta) pada minggu lalu.

 

Bagaimanapun, kumpulan tersebut juga adalah pembeli bersih dalam sektor teknologi dan produk pengguna. - DagangNews.com