Saham CEKD dilancar di Papan ACE, raih premium 12 sen, 25% lebih tinggi dari harga IPO | DagangNews Skip to main content

Saham CEKD dilancar di Papan ACE, raih premium 12 sen, 25% lebih tinggi dari harga IPO

ZULKIFLI ADNAN (empat dari kiri) dan Yap Kai Ning (memalu gong) bersama pegawai-pegawai lain pada majlis penyenaraian saham CEKD di Papan ACE yang diadakan secara maya, hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 29 Sept – CEKD Berhad (Kod Saham: 0238), penyedia rumusan acuan pemotong serta pengilang acuan pemotong dan pedagang barangan pengguna berkaitan, alat-alat dan aksesori hari ini berjaya disenaraikan di Papan ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Saham CEKD dibuka pada 60 sen, iaitu 12 premium 12 sen atau 25% lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 48 sen, dengan volum dagangan sulung sebanyak 6,286,100 saham.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif CEKD Berhad, Dato’ Zulkifli Adnan berkata, pihaknya cukup gembira dengan hari pertama penyenaraian syarikat ini di Papan ACE dan berbesar hati dengan penerimaan para pelabur terhadap IPO syarikat.

 

‘’Syarikat ini adalah peneraju dalam penyediaan rumusan bagi acuan pemotong di Malaysia, dan kami percaya IPO ini akan memberi Kumpulan ini lebih ketrampilan dan membantu perluasan perniagaan kami.

 

‘’Ia akan membantu kami bukan sahaja mengekalkan pelanggan di Malaysia tetapi juga membantu meneroka pasaran lain di Asia Tenggara dan Timur Tengah,’’ kata beliau selepas upacara penyenaraian saham CEKD di Bursa Malaysia hari ini.

 

Zulkifli berkata, sebagai satu-satunya pakar acuan pemotong di Asia Tenggara yang diperakui oleh Bobst Mex SA, peneraju global dalam pembekalan mesin dan perkhidmatan kepada industri pembungkusan dari Switzerland, CEKD merancang pasca-penyenaraian untuk meluaskan operasi dan perkhidmatan pembuatan di pasaran sedia ada, serta mengukuhkan kedudukan di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

 

‘’Kami percaya bahawa terdapat banyak peluang yang kami boleh terokai di pasaran-pasaran ini berikutan pertumbuhan di dalam industri E&E, plastik dan pembungkusan, automotif dan juga tekstil serta kulit,’’ ujar beliau.

 

Sementara CEKD ada menghantar produk ke pasaran di Australia, Vietnam, Thailand, Filipina dan Timur Tengah, Malaysia merupakan 85.0% perolehan keseluruhan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2021. Pelanggan-pelanggan Kumpulan ini kebanyakannya dari industri percetakan dan pembungkusan, elektrik dan elektronik, automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

 

Penyenaraian hari ini adalah susulan Majlis Cabutan Saham pada 21 September 2021 yang mana CEKD mencatat kadar terlebih langganan 131.61 daripada saham baharu yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

 

Majlis penyenaraian secara maya ini dihadiri oleh Pengarah Urusan CEKD, Yap Kai Ning; Ketua Pegawai Operasi, Yap Kai Min; Ketua Pegawai Kewangan, Peraly Hiew Pei Li; Timbalan Pengerusi Eksekutif, Yap Yian Tion dan dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif iaitu Chong Chin Look dan Datuk Mak Foo Wei.

 

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Pembiayaan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan dan Ketua Pembiayaan Korporat M&A Securities, Gary Ting.

 

M&A Securities Holdings Berhad merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Agen Perletakan bagi proses IPO syarikat.

 

CEKD Berhad (“CEKD” atau “Kumpulan”) merupakan syarikat pegangan pelaburan dengan tiga subsidiari milik penuh, iaitu Sharp Die Cutting Mould Sdn Bhd di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur; Hotstar (M) Sdn Bhd di Kepong, Kuala Lumpur dan Focuswin Diecutting Mould Sdn Bhd di Prai, Pulau Pinang.

 

Kumpulan syarikat ini merupakan penyedia rumusan acuan pemotong dan terlibat di dalam pembuatan acuan pemotong dan berdagang di dalam barangan pengguna berkaitan, alat-alat dan aksesori, terutama untuk industri percetakan kertas dan pembungkusan, elektronik dan elektrik, dan industri lain seperti automotif, pembungkusan plastik, tekstil dan kulit.

 

Acuan dan alat pemotong CEKD adalah digunakan sebagai acuan pemotong kotak dan karton kertas, kotak pembungkusan plastik, komponen elektrik seperti komputer riba, cakera keras, pembesar audio, alat kawalan jauh, komponen automotif seperti gasket enjin, jata, fabrik dan kulit bagi perabot, kerusi kereta, kemudi roda, pakaian dan kasut.  – DagangNews.com