Saham CTOS catat premium 36.4% berbanding harga terbitan | DagangNews Skip to main content

Saham CTOS catat premium 36.4% berbanding harga terbitan

Pengerusi bebas bukan eksekutif CTOS Digital Bhd, Tan Sri Izzuddin Dali (kiri) dan CEO Kumpulan, Dennis Martin melakukan gimik memukul gong sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - CTOS Digital Bhd mencatatkan prestasi permulaan penyenaraian yang kukuh di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.50, iaitu premium 36.4% atau 40 sen daripada harga terbitan RM1.10 sesaham.

 

Sewaktu dibuka hari ini, kaunter itu menyaksikan 13.69 juta saham bertukar tangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin, berkata penyenaraian agensi pelaporan kredit itu menerima permintaan runcit terbesar bagi tawaran awam permulaan (IPO) sejak 2013, menerima permohonan bernilai RM1.38 bilion dengan kadar terlebih langgan sebanyak 27.6 kali daripada awam-runcit.

 

"Sokongan kukuh ini mendorong kami untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dalam industri pelaporan kredit. Kami akan tetap berpegang teguh untuk memperluaskan perkhidmatan untuk seluruh kitaran pengguna, kepada syarikat besar dan PKS serta individu.

 

"Sokongan kukuh ini mendorong kami untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dalam industri pelaporan kredit. Kami akan tetap berpegang teguh untuk memperluaskan perkhidmatan untuk seluruh kitaran pengguna, kepada syarikat besar dan PKS serta individu.

 

"Pada masa akan datang, kami akan terus memperluaskan penawaran produk dan jangkauan pelanggan dan menerusi pengambilalihan di rantau ASEAN," katanya ketika penyenaraian IPO secara maya, hari ini, lapor Bernama.

 

Martin berkata, selain mengembangkan rekod prestasinya, syarikat juga akan kekal komited untuk menyeimbangkan pertumbuhan mampan dan memberi manfaat kepada pemegang saham.

 

Polisi dividen CTOS Digital sebanyak 60% keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) mempamerkan ikrar itu.

 

Penyenaraian syarikat itu hari ini menerima jumlah pelabur institusi terbesar yang mengambil bahagian, membabitkan 23 pelabur terkemuka.

 

Pada 10.41 pagi, saham CTOS Digital melonjak 49 sen kepada RM1.59 dengan 211.45 juta saham diniagakan. - DagangNews.com