KUALA LUMPUR 23 Nov - Saham ECA Integrated Solution Bhd. melonjak sebanyak 54.5 sen kepada 71.5 sen, dengan 87.4 juta saham diniagakan setakat 10.47 pagi tadi dalam penampilan sulungnya di Pasaran ACE, menjadikannya saham kedua paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia.
Harga sahamnya dibuka pada 65 sen, mewakiliki premium sebanyak 282.4% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 17 sen dengan volum pembukaan pada 10.05 juta saham.
Dalam kenyataan hari ini, pemegang saham utamanya yang juga Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi, Chua Lye Hock berkata, penyenaraian itu menandakan peristiwa penting dalam sejarah korporat kumpulan.
"Saya gembira dengan harga pembukaan ini dan percaya ia adalah gambaran keyakinan pelabur terhadap perniagaan kami dan prospek masa depan.
"Sebagai balasan, kami akan bekerja keras untuk meningkatkan kumpulan kami ke tahap pertumbuhan seterusnya," katanya.
Penyedia penyelesaian pembuatan automatik itu dijangka memperoleh sebanyak RM25.5 juta daripada penyenaraiannya itu.
Sebanyak 30.2% atau RM7.7 juta daripada hasil IPO itu akan digunakan untuk pembelian jentera bagi menambah keupayaan teknikalnya dan untuk menampung pengeluaran yang lebih tinggi.
Mesin canggih itu membolehkan penyelesaiannya boleh lebih disesuaikan agar menepati keperluan pelanggan dan mengendalikan kerja fabrikasi kompleks yang lebih besar.
Sementara itu, sebanyak RM14 juta (54.9%) lagi diperuntukkan untuk modal kerja sebagai persediaan untuk mengambil lebih banyak pekerjaan, manakala baki RM3.8 juta (14.9%) digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.
ECA Integrated terbabit dalam penyediaan sistem pengeluaran bersepadu dan peralatan automatik yang berdiri sendiri. Ia juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk sokongan teknikal dan alat ganti.
Selepas penyenaraian, berdasarkan harga terbitan 17 sen sesaham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM98.2 juta berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 577.5 juta saham. - DagangNews.com