KUALA LUMPUR 5 Okt - Public Investment Bank Research menaikkan penarafan Hibiscus Petroleum Bhd. kepada 'trading buy' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.18 berbanding RM1.05 sesaham sebelum ini.
Syarikat itu, yang sebelum ini menentang pelaksanaan cukai jualan ke atas dua aset operasi di Sabah, telah meneruskan pembayaran cukai berjumlah RM85.7 juta kepada kerajaan negeri.
Malah, pengurusan juga menjelaskan langkah itu diambil bagi mewujudkan persekitaran yang stabil untuk pelaburan berterusan dan operasi yang lancar di negeri di bawah bayu itu.
Susulan itu, penganalisisnya, Nurzulaikha Azali melihat ia satu perkembangan positif kerana langkah berkenaan telah menghapuskan ketidaktentuan dalam operasinya di Sabah yang mungkin menjejaskan kecekapan operasi kumpulan.
"Dengan selesainya isu ini, kumpulan dijangka membayar 5% cukai jualan tahunan kepada Sabah pada masa akan datang.
"Unjuran kami mendapati ia dijangka membayar kira-kira RM44.8 juta setahun, dengan mengandaikan jualan minyak mentah sekitar 2.1 mbbls dari Sabah Utara dan 700 mbbls dari medan Kinabalu.
"Pada masa sama, kami turut mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25 sebanyak purata 10.2%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah telah mengeluarkan notis kepada Hibiscus bahawa permit kerja untuk medan Sabah Utara dan Kinabalu akan dibatalkan pada 1 Oktober 2022 kerana kumpulan telah menghentikan pembayaran cukai jualan selepas mengambil alih aset Kinabalu daripada Repsol.
Pada masa sama, aset Sabah Utara pula belum membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada negeri itu.
Kumpulan pada awalnya tidak bersetuju dengan pembayaran cukai itu, dengan alasan ia menjual minyak mentahnya di kemudahan Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) yang berada di luar kedaulatan dan bidang kuasa negeri Sabah, justeru, ia tidak sepatutnya tertakluk kepada SST.
Bagaimanapun, dalam Kemas Kini Korporat dan Perniagaan, Hibiscus menyatakan bahawa ia telah membuat akruan yang sesuai untuk semua liabiliti berjumlah RM85.7 juta.
Ini selepas kerajaan negeri menerima cadangannya, iaitu membayar tuntutan yang dikenakan ke atas hasil penjualan minyak mentah di bawah PSC Sabah Utara dan PSC Kinabalu masing-masing pada 27 September 2022.
Berikutan penyelesaian yang dicapai itu, saham Hibiscus antara paling rancak diniagakan pagi ini di Bursa Malaysia.
Setakat 10.44 pagi, harga sahamnya menokok 9 sen atau 10.34% kepada 96 sen dengan 34.24 juta saham diniagakan. - DagangNews.com