Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Okt - Kenanga Research mengekalkan panggilan "Outperform" ke atas harga saham Kelington Group Bhd (Kelington) pada harga RM1.71 dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak RM2.50.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma penganalisis itu berkata, pengekalan itu dibuat susulan kejayaan syarikat itu meraih kontrak Ultra High Purity (UHP) ketiganya daripada peneraju global dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek kemudahan teknologi tinggi, yang melibatkan pengeluar semikonduktor terkemuka di dunia.
Kelington dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan ketiga-tiga kontrak ini membawa nilai keseluruhan sekitar RM134 juta.
"Ini menjadikan jumlah kontrak yang dimenangi setakat ini bernilai RM841 juta sementara buku pesanannya mencecah RM979 juta.
"Kelington tetap menjadi pilihan kami berdasarkan jumlah buku pesanannya yang memberangsangkan, untuk itu kami mengulangi panggilan 'Outperform' kami dengan harga sasaran RM2.50," katanya Kenanga Research.
Di bawah kontrak tersebut, Kelington akan menjalankan pembekalan dan pemasangan rangkaian saluran pengedaran ekzos.
Menurut Kelington, kilang itu dijangka menjadi kemudahan pembuatan semikonduktor paling canggih di Singapura dan penyelesaian bersepadunya akan memenuhi permintaan segmen automotif, pergerakan 5G dan peranti keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington, Ir. Raymond Gan berkata bahawa pihaknya berbangga mendapat kontrak ketiga dalam jangka masa tiga bulan daripada pelanggan yang sama di Singapura. -DagangNews.com