Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Pelabur runcit tempatan kekal optimistik dengan prospek pasaran dengan muncul sebagai pembeli bersih ekuiti bagi minggu berakhir 11 Disember lalu berjumlah RM734 juta.
Dengan peningkatan 72% berbanding tempoh 2 minggu lalu, pelabur runcit merekodkan pembelian tertinggi bagi tempoh sejak 9 hingga 13 Mac lalu.
Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang berkata, pelabur runcit membeli bersih ekuiti berkaitan penjagaan kesihatan yang meningkat RM179 juta, utiliti (RM132.7 juta) dan teknologi (RM118 juta) tetapi merupakan penjual bersih bagi sektor perkhidmatan kewangan.
"Ia menunjukkan pelabur runcit merupakan pembeli bersih bagi saham Public Bank, Tenaga, Top Glove, MYEG dan Serba Dinamik.
"Penjual bersih pula melibatkan 5 saham utama iaitu CIMB, Genting, Maybank, Press Metal dan Bursa," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, jualan ekuiti oleh pelabur asing jatuh 6.3% kepada RM576 juta berbanding RM615 juta dua minggu sebelum itu, ekoran kebimbangan mengenai ketidaktentuan politik negara.
"Pelabur asing merupakan pembeli bersih bagi saham berkaitan penjagaan kesihatan sebanyak RM230.3 juta bagi tempoh 2 minggu berturut-turut.
"Sebaliknya, pelabur asing muncul penjual bersih untuk saham berkaitan utiliti berjumlah RM292 juta, teknologi (RM107 juta) dan produk pengguna dan kesihatan (RM103 juta)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi minggu berakhir 11 Disember lalu, juga didapati para pelabur lebih cenderung kepada saham-saham yang mampu memberi manfaat kepada pemulihan ekonomi daripada pandemik COVID-19.
Saham yang menjadi tumpuan adalah berkaitan kewangan yang meningkat 10.5% minggu ke minggu diikuti pengguna (4.2%), hartanah (3.8%) dan tenaga (3.1%).
Keuntungan yang diraih kaunter-kaunter perbankan mendorong indeks kewangan kepada kedudukan lebih positif untuk kali pertama tahun ini.
Namun, saham-saham berkaitan penjagaan kesihatan yang menyaksikan penurunan 2.6% minggu ke minggu diikuti teknologi (1.1%) didapati kurang menyerlah sepanjang minggu lalu.
Lee Fang berkata, indeks FBM KLCI juga mengukuh sepanjang minggu tersebut memandangkan para pelabur lebih berminat memilih saham-saham yang dijangka memberi keuntungan kepada pemulihan ekonomi.
"Minggu tersebut juga menyaksikan beberapa langkah penempatan saham. Secara keseluruhan, KLCI melonjak 63 mata atau 3.9% sepanjang minggu itu," katanya.
Pasaran saham tempatan bagi minggu berakhir 11 Disember itu menyaksikan jumlah dan nilai purata dagangan harian masing-masing meningkat 7% dan 10%.
"Ia didorong oleh penjualan saham oleh Petronas dalam MISC sebanyak 6.56% bernilai RM1.95 bilion dan KLCCP sebanyak 8.5% bernilai RM1.09 bilion," jelas beliau.
Nilai dagangan pelabur runcit meningkat 3% minggu ke minggu kepada 37.2% diikuti pelabur institusi (24%), hak milik (20%) dan penama (18.8%). - DagangNews.com