Saham perbankan mendominasi kaunter untung, KLCI kembali positif | DagangNews Skip to main content

Saham perbankan mendominasi kaunter untung, KLCI kembali positif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Pasaran saham tempatan kembali memulakan dagangan positif pada pagi ini, terutamanya dipacu oleh lonjakan dalam kebanyakan saham perbankan.

 

Walaupun dibuka 0.65 mata lebih rendah, namun indeks penanda aras utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI kembali menokok 1.19 mata kepada 1,556.70 selepas dua minit didagangkan, daripada paras penutupan petang semalam, 1,555.51. 

 

Selain kaunter perbankan, pergerakan yang agak positif ini turut dipacu oleh kaunter tenaga dan produk perindustrian. 

 

Rakuten Trade Research bagaimanapun menjangkakan pasaran tempatan bakal menyaksikan aktiviti pemburuan saham murah seterusnya mengunjurkan FBM KLCI didagangkan dalam jajaran 1,560 hingga 1,570, hari ini. 

 

“Sentimen di pasaran tempatan bertukar kepada berhati-hati memandangkan berita mengenai pengecualian faedah di bahawa moratorium pinjaman dan cukai durian runtuh timbul. 

 

“Kami menjangkakan penjualan (saham) telah berakhir memandangkan impak daripada cadangan pengecualian faedah itu mungkin tidak ketara ke atas bank ekoran ini hanya akan berlaku untuk suku keempat 2021 (4Q21). 

 

“Walaupun tiada butiran jelas, namun kami percaya tempoh masa penguatkuasaan cukai durian runtuh ke atas syarikat sarung tangan dan perladangan akan berakhir memandangkan konsensus melihat perolehan bagi kedua-duanya meningkat tahun ini ketika harga penjualan menurun pada masa akan datang,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.

 

 

bursa

 

 

Beralih kepada kaunter untung, saham Hong Leong Bank Berhad mengunggulinya dengan lonjakan 22 sen kepada RM18.68 setakat 9.19 pagi. 

 

Saham perbankan lain yang turut berada di dalam kaunter untung termasuk CIMB Group Holdings Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) dan AMMB Holdings Berhad yang rata-ratanya menokok 2 hingga 3 sen pada dagangan pagi ini. 

 

Saham GETS Global Berhad sebaliknya berada di kedudukan tercorot apabila dibuka 10 sen lebih rendah kepada RM1.85. 

 

Ini diikuti oleh saham Advanced Packaging Technology (M) Berhad yang merosot 14 sen kepada RM2.65 selepas 24 minit didagangkan. 

 

Kaunter paling rancak pula menyaksikan saham Bintai Kinden Corporation Berhad diburu oleh pelabur dengan peningkatan 1 sen kepada 54 sen setakat 9.25 pagi. 

 

Turut menjadi tumpuan pelabur adalah saham Emico Holdings Berhad yang menokok 2 sen kepada 46 sen setakat 9.26 pagi. - DagangNews.com