Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Pasaran saham tempatan petang ini ditutup rendah diheret turun saham-saham pengeluar sarung tangan getah susulan bermulanya program vaksin COVID-19.
Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI susut 7.5 mata atau 0.48% kepada 1,557.55 mata dengan dagangan berjumlah 12.71 bilion bernilai RM7.02 bilion.
Keseluruhan kaunter juga negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 995 berbanding 332 manakala 404 kaunter tidak berubah.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan yang melah adalah sejajar dengan pasaran serantau Asia yang lain seperti China, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Filipina.
Ini berikutan kenaikan mendadak penilaian aset dan peningkatan hasil perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang mana ia menampan risiko, katanya.
Untuk pasaran Asia pula, jelas beliau, kaedah berisiko lazimnya disebabkan kenaikan duti setem perdagangan saham di Hong Kong.
"Dalam pasaran domestik pula, kaunter sarung tangan getah mengheret turun indeks FBM KLCI terutama melibatkan saham Hartalega, Supermax dan Top Glove.
"Malah, Top Glove merekodkan kerugian paling besar sebanyak 7.8% memandangkan program vaksin COVID-19 akan bermula (mulai hari ini)," katanya kepada DagangNews.com.
Ia juga menyaksikan indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia mendahului kerugian sebanyak 3.9% berbanding sektor-sektor lain.
Ketika ditutup petang ini, saham Hartalega susut 5.97% kepada RM10.4 sesaham manakala Supermax jatuh 7.52% kepada RM5.04.
Top Glove menyusut 7.8% kepada RM5.23 sesaham dengan pasaran modal berjumlah RM46.49 bilion.
Namun begitu, katanya, bagi pasaran kewangan, ringgit mengukuh 0.1% berbanding dolar AS apabila ditutup pada RM4.04 petang ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech, sekali gus menjadi rakyat pertama negara ini yang berbuat demikian.
Beliau menerima suntikan itu di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya di Presint 11, Putrajaya, selepas menyempurnakan Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dengan fasa pertamanya bermula hari ini hingga April. - DagangNews.com