Saham sarung tangan getah terus 'laku' | DagangNews Skip to main content

Saham sarung tangan getah terus 'laku'

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 4 Mei - Kaunter berkaitan sarung tangan getah terus mencuri tumpuan pelabur dalam pasaran ekuiti tempatan. 

 

Bagi minggu berakhir 30 April lalu, CGS-CIMB mendapati, Top Glove dan Hartalega muncul antara 3 saham paling utama yang dibeli pelabur runcit, institusi tempatan dan penama. 

 

Selain itu, pelabur institusi tempatan juga membeli bersih saham Supermax manakala Kossan Rubber pula, saham kedua tertinggi dibeli bersih pelabur institusi asing.

 

"Dalam kalangan pelabur institusi asing, saham Top Glove dan Hartalega paling banyak dijual bersih manakala pelabur institusi tempatan pula menjual bersih saham Kossan Rubber," katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.

 

Sejak 3 minggu lalu, Top Glove secara konsisten merupakan antara 3 saham yang dibeli bersih pelabur institusi tempatan manakala Hartalega pula merupakan antara pilihan saham yang dijual bersih pelabur institusi asing dalam tempoh 4 minggu. 

 

Maybank pula muncul antara 5 saham teratas yang dibeli bersih pelabur runcit dan penama sejak 4 minggu lalu dan menjadi pilihan pelabur institusi tempatan dalam tempoh 3 minggu untuk jualan bersih.

 

Menurut firma itu, indeks utama FBM KLCI susut 0.4% memandangkan kenaikan saham berkaitan penjagaan kesihatan mengimbangi kerugian yang dialami saham berkaitan kewangan.

 

Pelabur runcit tempatan dan penama merupakan pembeli bersih terbesar dalam saham penjagaan kesihatan dengan meningkat 1% minggu ke minggu manakala pelabur asing merupakan penjual bersih sektor itu minggu lalu. 

 

Dalam sektor kewangan pula, pelabur institusi tempatan dan asing merupakan dua penjual bersih terbesar manakala pelabur runcit dan penama muncul pembeli bersih.

 

CGS-CIMB mendapati pelabur institusi tempatan beralih menjadi penjual bersih selepas 2 minggu berturut-turut membeli bersih ekuiti. 

 

"Mereka menjual bersih sebanyak RM198 juta ekuiti tempatan minggu lalu berbanding pembelian bersih sebanyak RM235 juta, minggu sebelumnya.

 

"Ini menjadikan mereka penjual bersih kedua terbesar dalam pasaran ekuiti Malaysia selepas pelabur asing, yang menjual RM376 juta ekuiti minggu lalu," katanya.

 

Minggu lalu turut merekodkan, pelabur runcit merupakan pembeli bersih terbesar ekuiti diikuti pelabur penama dengan aliran pembelian masing-masing berkembang 96% dan 118% minggu ke minggu kepada RM333 juta dan RM217 juta. 

 

Tambah firma itu, Lotte Chemical Titan muncul saham paling banyak dibeli pelabur institusi tempatan dan merupakan saham jualan bersih terbesar oleh pelabur runcit. - DagangNews.com