Saham Sumatec Resources dinyahsenarai dari Bursa Malaysia berkuatkuasa 24 Mac ini | DagangNews Skip to main content

Saham Sumatec Resources dinyahsenarai dari Bursa Malaysia berkuatkuasa 24 Mac ini

Bursa Malaysia akan menyahsenarai sesebuah syarikat tersenarai sebaik saja ia dibubarkan.

KUALA LUMPUR 21 Mac - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17), Sumatec Resources Bhd (Sumatec) akan dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia, kata penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu dalam makluman kepada pengendali pasaran saham.

 

"Adalah dimaklumkan bahawa seluruh modal saham terbitan Sumatec akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd berkuat kuasa jam 9 pagi, Khamis ini (24 Mac), mengikut perenggan 6.11(2)(d)(ii) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama," katanya.

 

Menurut perenggan yang dinyatakan, Bursa Malaysia akan menyahsenarai sesebuah syarikat tersenarai sebaik saja ia dibubarkan.

 

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada 27 Disember lalu, Sumatec berkata tiada undang-undang dicabar atau prosiding difailkan terhadap arahan pembubaran yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi.

 

"Pembubar berpandangan bahawa syarikat gagal mengawal selia kedudukan kewangannya mengikut PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

"Sehubungan itu, pembubar tiada bantahan terhadap penyahsenaraian syarikat itu mengikut surat dinyatakan," katanya.

 

Sumatec disenaraikan sebagai syarikat berstatus PN17 selepas juruauditnya mengemukakan pandangan penafian terhadap penyata kewangan diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017. - DagangNews.com