Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Nov - Untung bersih Ta Ann Holdings Bhd. pada suku keempat ini dijangka mendatar berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) masih kekal tinggi dan harga purata jualan (ASP) bagi produk perkayuan.
Bagaimanapun, menurut CGS-CIMB, ia sebahagiannya diimbangan dengan pengeluaran tandan buah segar yang lebih rendah.
"Tetapi, kami menaikkan unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23 antara 6 hingga 8% yang mencerminkan unjuran harga MSM lebih tinggi sekitar M4,270, RM3,600 dan RM3,240 satu tan metrik masing-masing bagi FY21, FY22 dan FY23.
"Pada masa sama, kami juga menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.18 (daripada RM3.08) kerana kini kami menilai bahagian kayu kumpulan pada 0.5x P/BV (daripada 0.4x) di tengah-tengah peningkatan margin bagi bahagian papan lapis," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu sebaliknya menyemak turun penarafan saham Ta Ann kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini.
"Semakan semula ini dibuat setelah kami mengambil kira prospek pendapatan yang positif kebanyakannya telah diambil kira.
"Penurunan risiko kepada penarafan ini bergantung kepada harga MSM lebih rendah, pengeluaran tandan buah segar yang rendah, masalah kekurangan tenaga buruh dan kebimbangan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," jelasnya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Ta Ann mengumumkan laporan kewangan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 yang menyaksikan untung bersihnya melonjak 141.51% kepada RM103.29 juta daripada RM42.77 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disokong ASP minyak sawit mentah, pengeluaran tandan buah segar dan eksport.
Pendapatan pada suku berkenaan juga melonjak 37.7% kepada RM486.86 juta daripada RM353.37 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh kumulatif 9 bulan, untung bersih kumpulan melonjak 230% kepada RM218.4 juta daripada RM66.27 juta manakala pendapatan meningkat 50.09% kepada RM1.28 bilion daripada RM854.68 juta.
Setakat 12.11 tengah hari ini, saham Ta Ann mendahului dagangan kaunter untung setelah menokok 18 sen atau 5.61% kepada RM3.39 dengan 2.78 juta saham diniagakan. - DagangNews.com