Saham Ta Win Holdings paling aktif selepas raih kontrak jualan POSCO | DagangNews Skip to main content

Saham Ta Win Holdings paling aktif selepas raih kontrak jualan POSCO

KUALA LUMPUR 2 Nov - Saham Ta Win Holdings Bhd menjadi saham paling aktif diniagakan dengan harganya melonjak 6.45% kepada 16.5 sen dalam dagangan 22.32 juta saham ketika bursa dibuka 9 pagi ini.

 

Tarikan utama kepada saham Ta Win ini didorong oleh pengumumannya semalam, yang mengunjurkan pendapatan agregat sebanyak RM2.55 bilion dalam tempoh tiga tahun mulai tahun depan selepas mendapat kontrak jualan daripada anak syarikat pengeluar keluli POSCO yang disenaraikan di Korea Selatan, POSCO International Corporation.

 

Syarikat milik penuhnya, Ta Win Industries (M) Sdn Bhd (TWI) menandatangani kontrak eksklusif untuk membekalkan rod tembaga, wayar dan produk lain yang berkaitan kepada pengeluar kerajang tembaga di Korea Selatan dan kilang pengeluaran mereka di luar negara, semalam.

 

TWI turut memeterai Memorandum Persefahaman dengan POSCO International, dan mereka akan menjalankan urus niaga anggaran 65,000 tan metrik dari 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2024, bermula dengan 10,000 tan metrik pada tahun pertama, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

 

Sasaran pendapatan itu berdasarkan harga tembaga di Bursa Logam London sebanyak AS$9,440 satu tan metrik dan kadar pertukaran mata wang asing sebanyak RM4.15 berbanding dolar AS sehingga 28 Okt, menurut pengeluar rod tembaga dan wayar itu.

 

Kontrak selama tiga tahun itu akan dilanjutkan secara automatik untuk tempoh setahun berturut-turut tanpa notis bertulis, kecuali salah satu pihak secara nyata meminta penamatan kontrak jualan eksklusif itu tidak lewat daripada enam bulan sebelum tamat tempoh semasa pada masa tersebut.

 

TWI akan membekalkan produk melalui POSCO International, syarikat perdagangan am yang mengendalikan organisasi khusus untuk perniagaan alat ganti kereta dan automotif.

 

Ta Win berkata, kontrak itu membolehkan TWI memanfaatkan rangkaian luas kumpulan POSCO dalam sektor komponen/bahan bateri kenderaan elektrik (EV). - DagangNews.com