Saham Transocean ungguli kaunter untung walau ‘ditegur’ Bursa | DagangNews Skip to main content

Saham Transocean ungguli kaunter untung walau ‘ditegur’ Bursa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 April - Saham syarikat logistik, Transocean Holdings Berhad (Transocean) kekal mengungguli kaunter untung pada awal dagangan hari ini walaupun menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) oleh Bursa Malaysia.

 

Semalam, Bursa Malaysia mengeluarkan UMA susulan terdapat kenaikan mendadak terhadap harga dan jumlah saham Transocean.

 

Setakat 10.42 pagi, nilai saham syarikat itu melonjak 59 sen atau 29.8% kepada RM2.57 daripada RM1.98.

 

Saham itu menyaksikan nilai pasaran sebanyak RM105.37 juta dengan 41 juta jumlah ekuiti.

 

Dalam sebuah makluman semalam, Bursa Malaysia mengutarakan empat persoalan yang perlu dijawab dengan segera oleh Transocean. 

 

Baca : Bursa Malaysia persoal kenaikan mendadak harga, jumlah saham Transocean

 

Sebagai jawapan balas kepada UMA tersebut, Transocean menerusi makluman di Bursa Malaysia mengesahkan bahawa sepanjang pengetahuannya tidak ada perkembangan korporat lain berkaitan dengan perniagaan dan urusan kumpulan yang belum pernah diumumkan sebelum ini.

 

Transocean turut menjelaskan bahawa syarikat tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan dan urusan kumpulan yang mungkin mempengaruhi aktiviti perdagangan.

 

“Syarikat tidak mengetahui kemungkinan penjelasan lain yang mempengaruhi aktiviti perdagangan.

 

“Syarikat mematuhi Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities (Syarat Penyenaraian), khususnya Perenggan 9.03 dari Syarat Penyenaraian mengenai kewajipan pengumuman segera,” jelas Transocean.

 

Pada 14 April lalu, Transocean mengumumkan bahawa mereka telah mengeluarkan surat tawaran kepada Enfrasys Consulting Sdn Bhd (ECSB) untuk mengambil alih sebanyak 40% kepentingan dalam Enfrasys Solutions Sdn Bhd (ESSB).

 

Pada tarikh sama, ECSB menerima tawaran tersebut pada kadar pembelian RM20,000,000 yang dilunaskan menerusi terbitan 20,000,000 saham biasa di dalam Transocean.

 

Pada 15 April pula, syarikat mengumumkan tawaran saham persendirian yang akan dilaksanakan mengikut mandat umum, tertakluk kepada Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016.

 

Sehari selepas itu, Transocean mengumumkan bahawa syarikat telah menandatangani perjanjian jual saham bersyarat dengan ECSB. - DagangNews.com