Saifuddin sahkan kontrak Bestinet dilanjut, jawatankuasa kerajaan akan rundingkan terma dan syarat | DagangNews Skip to main content

Saifuddin sahkan kontrak Bestinet dilanjut, jawatankuasa kerajaan akan rundingkan terma dan syarat

Oleh BERNAMA

PUTRAJAYA 24 Jun - Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membincangkan terma dan syarat kontrak Bestinet Sdn Bhd (Bestinet), berikutan keputusan Kabinet untuk melanjutkannya.

 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan kontrak Bestinet telah disambung selama tiga tahun. Bestinet ialah pembekal sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS).

 

Media sebelum ini melaporkan bahawa kontrak Bestinet mungkin disambung selepas ia berakhir pada 31 Mei.

 

 

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, bersama wakil kementerian berkaitan.

 

“Kabinet membuat susulan dengan keputusan mewujudkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh KSN,” katanya dalam sidang media di sini Isnin.

 

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan membincangkan terma kontrak merangkumi prinsip tertentu seperti mempercepatkan proses permohonan dan kebajikan pekerja asing.

 

“Semua itu akan menjadi rangka kerja untuk membimbing jawatankuasa yang diketuai KSN untuk memperhalusi syarat kontrak,” katanya.

bestinet

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 meminta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membincangkan dan memutuskan siapa yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sistem pengurusan pekerja asing tanpa mengabaikan keperluan semua pihak berkepentingan. .

 

Ini selepas pengurusan pekerja asing, melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS di bawah Kesuma, didapati kurang memuaskan. - DagangNews.com