Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Julai - Strategi Sime Darby Bhd. mengambil alih firma Australia, Salmon Earthmoving Holdings Pty Ltd (Salmon Australia) akan mengukuhkan kedudukannya di negara tersebut.
Salmon Australia adalah penyedia utama perkhidmatan sewaan dan penyelenggaraan bagi sektor pembinaan sivil, pertanian dan perlombongan di negara itu.
Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam menyifatkan langkah itu akan meletakkan Sime Darby sebagai peneraju penyediaan perkhidmatan peralatan perindustrian bersepadu di Australia.
"Tambahan lagi, kami mendapati Salmon Australia juga menawarkan margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) dua digit, lebih tinggi berbanding margin PBIT bagi segmen perindustrian bercampur antara 5 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, urus niaga itu menyediakan peluang yang jarang diperoleh untuk mengambil alih sebuah syarikat terkemuka dengan pengalaman lebih 70 tahun.
Malah, Sime Darby juga percaya Salmon Australia akan melengkap dan mengukuhkan kehadiran unit perindustrian di pasaran Australia.
Salmon Australia beribu pejabat di Staplyton, berhampiran Brisbane di Queensland, Australia dengan 280 kilang dan peralatan ditawarkan, disokong oleh lebih 120 pekerja dan bengkel di serata Queensland, selain kemudahan penyelenggaraan dan kenderaan sokongan perkhidmatan lapangan.
CGS-CIMB berpendapat, Salmon Australia akan meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) Sime Darby pada tahun kewangan 2022 dan 2023.
"Tetapi kami menjangkakan segmen permotoran di Malaysia yang lebih lemah, disebabkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor dan PKP penuh di kebanyakan negeri," katanya.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' ke atas Sime Darby dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.80. - DagangNews.com