Samaiden, UTAR meterai MoU perkasa pendidikan tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Samaiden, UTAR meterai MoU perkasa pendidikan tenaga boleh diperbaharui

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Samaiden Group Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi menyepadukan akademik dengan kepakaran industri, khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman, Prof Datuk Dr Ewe Hong Tat berkata, MoU dengan Samaiden adalah jambatan yang menghubungkan teori akademik dengan amalan industri, yang penting dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang berkembang pesat. 

 

"Dengan bekerjasama, kami mencipta peluang untuk pelajar dan kakitangan kami untuk mendapatkan pengalaman dan pandangan langsung tentang cabaran dan kemajuan dunia sebenar dalam sektor ini. 

 

"Matlamat kami adalah untuk memupuk persekitaran pembelajaran dan inovasi bilik darjah, menyediakan graduan kami bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga profesional yang boleh menyesuaikan diri dan berfikiran ke hadapan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Chow Pui Hee pula berkata, kerjasama dengan UTAR adalah satu langkah ke arah memupuk generasi baharu pakar dalam tenaga boleh diperbaharui. 

 

Katanya, ia merupakan komitmen pihaknya terhadap pembangunan dan inovasi yang mampan. 

 

"Dengan menyepadukan pandangan dan kepakaran industri kami dengan akademik UTAR, kami meletakkan asas untuk pelajar cemerlang dalam tenaga boleh diperbaharui, bidang penting untuk masa depan bumi kita. 

 

 

samaiden
Prof Datuk Dr Ewe Hong Tat (kanan) dan Chow Pui Hee ketika menandatangani MoU antara Samaiden dan UTAR.

 

 

"Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, menyumbang kepada pendidikan individu yang tidak lama lagi akan memimpin dan berinovasi dalam usaha mencari rumusan tenaga mampan," katanya.

 

Sementara itu, MoU tersebut mewujudkan rangka kerja kerjasama yang bertujuan untuk meningkatkan amalan pendidikan dan profesional, memberi manfaat kepada pelajar, fakulti dan profesional industri.


 
Kerjasama tersebut memerlukan pertukaran idea dan kemudahan, termasuk memperkasa pembangunan kurikulum dan penyertaan dalam aktiviti berkaitan dengan industri. 

 

Ia termasuk menganjurkan lawatan sambil belajar industri untuk pelajar UTAR, lawatan kakitangan bersama untuk pembangunan profesional dan meningkatkan pengalaman pembelajaran. 

 

Selain itu, ia memberi tumpuan kepada pembangunan latihan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk kakitangan industri dan menyediakan peluang pembangunan kerjaya untuk pelajar dengan berkesan, serta merapatkan jurang antara akademia dan sektor tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com