Sambutan Bulan Integriti Nasional 5 November ini, bertema `Integriti Teras Keluarga Malaysia' | DagangNews Skip to main content

Sambutan Bulan Integriti Nasional 5 November ini, bertema `Integriti Teras Keluarga Malaysia'

KUALA LUMPUR 1 Nov - "lntegriti Teras Keluarga Malaysia" merupakan tema sambutan Bulan Integriti Nasional 2022 yang disambut pada 5 November setiap tahun, sejak 2005.

 

Tema ini dipilih berdasarkan komitmen Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai agensi peneraju dalam usaha pemerkasaan dan pembudayaan integriti dan tadbir urus baik di Malaysia.

 

Tema ini juga adalah selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran. Ia turut mencakupi amalan menyemai budaya integriti; budaya amanah; prinsip keadilan; dan amalan bermusyawarah dalam membina akhlak mulia seluruh rakyat Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, budaya integriti perlu dipupuk di kalangan setiap lapisan masyarakat.

 

Beliau berkata, ia merangkumi setiap aspek kehidupan agar dapat memberi kesan kepada individu, komuniti, organisasi dan negara.

 

"Memperkasakan pendidikan integriti dari usia muda yang berteraskan aspek kejujuran, akauntabiliti, tanggung jawab dan sikap saling menghormati akan memastikan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.


 

Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi

 


Sempena sambutan bulan Integriti Nasional 2022, IIM dengan kerjasama beberapa pihak termasuk sektor awam dan swasta juga akan melaksanakan pelbagai program bagi tujuan memantapkan pembudayaan nilai-nilai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.

 

Antara program yang telah dirangka termasuklah penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam: Integriti Jambatan Keberkatan yang akan disiarkan secara langsung menerusi slot rancangan Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 pada 3 November 2022 (Khamis), jam 9 malam hingga 10 malam.

 

IIM juga akan mengadakan Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2022) peringkat Kebangsaan pada awal tahun 2023. Penganjuran AIGA 2022 ini merupakan inisiatif IIM yang julung kali diadakan serta bertujuan memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dan kebertanggungjawaban dalam usaha memperkasakan pembudayaan dan pengamalan integriti dan tadbir urus terbaik dalam organisasi masing-masing.

 

IIM akan turut terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Integriti bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Telekom Malaysia (TM) Berhad, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Boustead Holdings Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Semoga sambutan Bulan Integriti Nasional pada tahun ini akan terus menyemarakkan semangat pembudayaan nilai integriti masyarakat dan nasional seterusnya berupaya merealisasikan aspirasi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) supaya “Malaysia dikenali kerana integritinya dan bukannya rasuah”. - DagangNews.com