SAMENTA gesa MKN buka semula semua sektor ekonomi sebaik 80% rakyat terima 1 dos vaksin | DagangNews Skip to main content

SAMENTA gesa MKN buka semula semua sektor ekonomi sebaik 80% rakyat terima 1 dos vaksin

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk William Ng


 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) sekali lagi menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya membuka semula semua sektor ekonomi sebaik sahaja 80% rakyat di setiap negeri mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk William Ng berkata, PKS tidak mampu menunggu hingga fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerana hampir 49% PKS mungkin gulung tikar menjelang bulan Oktober jika tidak dibenarkan beroperasi.

 

"Kami menggesa PKS-PKS yang belum berdaftar untuk PIKAS supaya berbuat demikian melalui laman www.miti.gov.my.

 

"Adalah penting kita mencapai imuniti kelompok secepat mungkin, supaya kita dapat membuka semula sektor ekonomi demi melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

 

Sementara itu, William menegur mengenai kejadian pada 1 Ogos lalu di sebuah hotel di Seberang Prai, Pulau Pinang yang menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) telah mengeluarkan notis kepada beberapa pemilik PKS dan pekerja mereka bahawa temujanji mereka untuk vaksinasi COVID-19 dibatalkan.

 

Menurut beliau, ia berlaku walaupun PKS-PKS terlibat telah membuat bayaran kepada PPV tersebut di bawah PIKAS. Antara yang terkesan adalah ahli-ahli SAMENTA.

 

"PPV di hotel tersebut dikendalikan oleh persatuan SME Malaysia (tiada kaitan dengan SAMENTA), dan petang Ahad telah mengeluarkan notis penutupan sementara atas alasan 'kekurangan bekalan vaksin' dan 'gangguan teknikal di platform MITI’.

 

"SAMENTA telah mendapatkan pencerahan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), yang telah mengesahkan tidak ada kekurangan bekalan vaksin atau apa-apa ‘gangguan teknikal’," katanya.

 

Oleh demikian ujar beliau, SAMENTA menggesa PPV tersebut memperjelaskan sebab sebenar pemberhentian operasi mereka dan apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengelakkan masalah serupa dari berlaku.

 

Sejak bulan Mac, SAMENTA telah bekerjasama erat dengan MITI untuk mengumpul senarai dan menyiapsiagakan PKS di seluruh negara untuk program vaksinasi barisan hadapan ekonomi ini. 

 

"Sejak bulan Jun, ahli-ahli kami telah menerima temujanji untuk pekerja mereka di PPV-PPV yang ditetapkan. Kami tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai kekurangan vaksin atau masalah teknikal hingga sekarang.

 

"PIKAS telah dikendalikan secara profesional dan tulus. Pujian harus diberikan kepada pihak MITI dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) kerana menjalankan program PIKAS ini secara teratur.

 

"Ahli-ahli kami yang terkesan oleh insiden Hotel Pearl View ini telahpun diberi temujanji baru di PPV lain, berikutan tindakan susulan oleh SAMENTA," kata beliau. - DagangNews.com