Samsung jangka keuntungan melonjak hampir 60% pada 3Q20 | DagangNews Skip to main content

Samsung jangka keuntungan melonjak hampir 60% pada 3Q20

Samsung

HONG KONG 9 Okt. - Samsung Electronics Co Ltd. (SSNLF) meramalkan jumlah keuntungannya melonjak hampir 60% pada suku ketiga sekali gus menjadi penjual telefon pintar teratas di dunia berbanding Huawei.

Semalam, konglomerat Korea Selatan memaklumkan bahawa pihaknya menjangkakan Samsung akan memperoleh keuntungan operasi sekitar ₩12.3 trilion  bersamaan (AS$10.6 bilion) untuk suku Julai hingga September.

Jumlah tersebut meningkat 58% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Anggaran yang diletakkan itu juga melebihi kadar keuntungan sebanyak 26% yang diletakkan oleh penganalisis berdasarkan data Refinitiv, lapor CNN.

Samsung menjangkakan akan mencapai peningkatan jualan sekitar 6% kepada  ₩66 trilion (AS$57 bilion) yang lebih tinggi berbanding jangkaan penganalisis Refinitiv pada kadar ₩63 trilion (AS$54.5 bilion).

Bagaimanapun, Samsung menyatakan akan melaporkan jumlah pendapatan penuh untuk suku ketiga pada akhir Oktober ini.

Awal 2020, Samsung telah merampas kedudukan Huawei sebagai penjual telefon pintar teratas dunia susulan penularan wabak.

Penganalisis Daiwa, SK Kim berkata, peningkatan mendadak dalam penjualan telefon pintar Samsung akan mendorong peningkatan pendapatan untuk suku ketiga dan dijangka berterusan hingga tahun hadapan.

"Peningkatan penjualan itu juga turut didorong oleh sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Huawei selain peningkatan permintaan untuk telefon pintar 5G.

"Samsung juga mencatatkan peningkatan dalam perniagaannya melalui cip memori susulan permintaan dari pusat data. Namun, jualan unit tersebut akan memperoleh pendapatan yang lebih rendah pada masa hadapan kerana penurunan harga cip memori berdasarkan penyesuaian inventori," jelasnya lagi. - DagangNews.com