Samsung rapatkan jurang keuntungan telefon pintar dengan Apple | DagangNews Skip to main content

Samsung rapatkan jurang keuntungan telefon pintar dengan Apple

Samsung

SEOUL 27 Nov. - Syarikat teknologi gergasi Korea Selatan, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) berjaya merapatkan jurang syer keuntungan dengan syarikat Apple Inc dalam segmen telefon pintar global pada suku ketiga.

 

Jumlah syer keuntungan Samsung pada suku berkenaan adalah sebanyak 32.6%, manakala Apple pula adalah sebanyak 60.5%.

 

Menurut nota kajian penyelidik pasaran Strategy Analytics, jumlah yang dicapai Samsung itu meningkat berbanding 18.8% pada tahun sebelumnya.

 

"Jumlah itu adalah yang tertinggi untuk Samsung sejak suku kedua 2014 yang menyumbang sebanyak 37.9% dalam jumlah syer keuntungan telefon pintar global.

 

"Apple pula mengekalkan statusnya sebagai vendor telefon pintar paling menguntungkan di dunia dengan jumlah sumbangan dominan sebanyak 60.5% pada suku ketiga.

 

"Bagaimanapun, bahagian pasaran syarikat berkenaan menurun daripada 66.9% dari tahun lalu," lapor agensi berita Yonhap.

 

Mengulas lanjut, nota kajian itu berkata, pengeluaran iPhone 12 baru-baru ini telah mengheret penurunan margin operasi Apple kepada 21% pada suku berkenaan berbanding 23% pada tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, margin operasi Samsung pada suku sama meningkat kepada 14% berbanding 11% pada tahun lalu.

 

Perkara itu disebabkan oleh gabungan produk yang dipertingkatkan dalam kedua-dua telefon pintar premium dan pertengahan.

 

Dalam aspek pendapatan, Samsung juga berjaya merapatkan jurang pendapatannya dengan syarikat Apple.

 

Syer pendapatan Samsung merangkumi 22.6% pada suku ketiga, iaitu 6.9% mata melebihi Apple.

 

Pada suku ketiga tahun lalu, syer pendapatan Samsung adalah sebanyak 20.2%, sementara Apple pula adalah sebanyak 33.8%. - DagangNews.com