'Samsung Smart Monitor' penuhi keperluan gaya hidup moden | DagangNews Skip to main content

'Samsung Smart Monitor' penuhi keperluan gaya hidup moden

Samsung Smart Monitor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Samsung Malaysia Electronics memperkenalkan skrin serba baharu iaitu Smart Monitor yang inovatif dan moden serta menggabungkan rangkaian semua dalam satu untuk pekerjaan, pembelajaran dan hiburan dalam satu paparan.

 

Ketua Elektronik Pengguna Samsung, Jimmy Tan berkata, skrin tersebut direka bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini yang bekerja, belajar dan melayari hiburan di kediaman.

 

"Samsung Smart Monitor menggabungkan capaian perhubungan melalui peranti mudah alih dan PC yang tinggi serta hub hiburan komprehensif yang sama dengan platform Smart TV.

 

"Dengan kelebihan yang disediakan, halangan antara cara bekerja, belajar dan bagaimana cara kita berhibur dapat diselesaikan sekali gus menjadikan peranan teknologi semakin penting," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Samsung Smart Monitor

 

Samsung Smart Monitor menyediakan pelbagai pilihan sambungan untuk kedua-dua PC dan telefon pintar.

 

Pengguna boleh membuat penyambungan melalui peranti mudah alih peribadi masing-masing melalui Tap View, Cast Casting atau Apple AirPlay 2.

 

Bagi pengalaman ruangan dekstop yang lebih sempurna menggunakan peranti mudah alih, pengguna juga dapat membuat sambungan kepada monitor bersama Samsung DeX.

 

Dalam aspek penggunaan untuk urusan pekerjaan pejabat dan pembelajaran di rumah, paparan skrin dilengkapi dengan aplikasi Microsoft Office 365 tanpa sambungan PC.

 

Samsung Smart Monitor

 

Kelebihan tersebut memberi peluang kepada pengguna untuk melihat, menyunting dan membuat simpanan dokumen di awan secara terus daripada monitor.

 

Akses jarak jauh juga membolehkan pengguna mengakses fail tanpa wayar daripada PC atau melihat kandungan dari komputer riba ketika berada di lokasi lain atau di pejabat.

 

Skrin berkenaan juga berfungsi sebagai pusat hiburan lengkap dengan kemampuan saluran kandungan bersama Smart Hub Samsung.

 

Monitor kedai aplikasi (app store) membolehkan pengguna mendapatkan kandungan kegemaran termasuk Netflix, HBO dan YouTube meskipun tanpa sambungan ke PC atau peranti mudah alih.

 

Kandungan berkenaan dapat diakses dengan mudah dengan alat kawalan jauh yang disediakan bersama kawalan suara yang diintegrasi oleh Bixby.

 

Di Malaysia, skrin berkenaan diperkenalkan dalam dua jenis model iaitu M7 dan M5.

 

Tambah beliau, tempahan awal skrin berkenaan boleh dibuat bermula 12 hingga 19 Disember 2020.

 

"Dalam tempoh pesanan awal ini, pelanggan yang membeli M7 atau M5 berpeluang menikmati penjimatan bernilai hingga RM400.

 

"Bukan itu sahaja, pelanggan yang berjaya membeli satu unit Smart monitor dalam tempoh tempahan awal akan berpeluang untuk memenangi Samsung Soundbar HW-T450/XM bernilai RM799," jelas beliau lagi. - DagangNews.com