Sandvik dari Sweden buka kilang pengeluaran jentera di Negeri Sembilan | DagangNews Skip to main content

Sandvik dari Sweden buka kilang pengeluaran jentera di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Syarikat kejuruteraan multinasional Sweden, Sandvik melancarkan kilang pengeluaran baharunya di Malaysia khusus untuk mengeluarkan jentera pemuat dan pengangkut bawah tanah.

 

Presiden Sandvik Mining and Rock Solutions, Mats Eriksson, berkata kilang itu menyasarkan untuk menyokong pengeluaran pemasangan semua pemuat, pengangkut dan trak Sandvik, termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), dan mewujudkan rangkaian pembekal yang mantap di rantau ini.

 

"Kemudahan di Seremban ini adalah penting dalam memastikan pembuatan fleksibel pengangkut muatan dan trak sama ada kedua-duanya berkuasa diesel dan elektrik sambil mematuhi piawaian ketat Sandvik untuk kemampanan, kualiti dan keselamatan.

"Komitmen Sandvik untuk menyampaikan nilai maksimum dalam kemampanan, prestasi, kualiti, keselamatan, fleksibiliti dan ekonomi terbukti melalui usaha ini," katanya di majlis pelancaran Sandvik Seremban pada Selasa, Bernama melaporkan.

 

 

Mats Eriksson
Datuk Seri Aminuddin Harun mendengar penerangan daripada Mats Eriksson

 

 

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Eriksson berkata dengan nilai pelaburan awal sebanyak RM150 juta, kilang itu akan mewujudkan peluang pekerjaan yang berpotensi untuk masyarakat setempat.

 

Menurutnya, jentera yang dipasang di kilang baharu itu di Malaysia ialah pengangkut muatan Toro LH517, dengan pengeluaran dijangka meningkat pada tahun akan datang, manakala trak Toro TH545 akan memulakan pengeluaran pada akhir tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pembuatan silang.

 

"Pengilangan produk menggunakan bateri dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini, dengan pemasangan unit BEV dijadualkan pada 2025, sejajar dengan matlamat elektrifikasi masa hadapan," katanya.

 

 

wasiyyah

 

 

Sementara itu, Aminuddin berkata pelancaran kilang Seremban menggariskan komitmen Sandvik terhadap kemudahan pengeluaran pemasangan baharu, menunjukkan kemajuan besar dalam sektor peralatan perlombongan bawah tanah.

 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sandvik kerana memilih Negeri Sembilan sebagai tapak pertama yang seumpamanya di Malaysia dan saya berharap Sandvik dapat menyumbang kepada penciptaan tenaga kerja mahir di negeri ini," katanya.

 

Kilang baharu itu, berkeluasan lebih 8,000 meter persegi, terletak di Taman Perindustrian Sendayan Techvalley dan terdiri daripada 15 sel pemasangan serba boleh.

 

Sandvik Mining and Rock Solution, bidang perniagaan dalam Sandvik Group, ialah pembekal terkemuka global bagi peralatan, alat ganti, perkhidmatan, penyelesaian digital dan teknologi dipacu kemampanan untuk industri perlombongan dan pembinaan. - DagangNews.com