Saranan PM agar memfokus kepada Asia, mampu kukuhkan rantaian makanan serantau | DagangNews Skip to main content

Saranan PM agar memfokus kepada Asia, mampu kukuhkan rantaian makanan serantau

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan di Persidangan Nikkei di Tokyo pada 26 Mei 2022.
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 27 Mei –  Usaha memperkasa integrasi ekonomi serantau merupakan langkah yang tepat dalam menangani perubahan dalam globalisasi selepas pasca pandemik dan fokus yang lebih mendalam harus diberikan dalam mengukuhkan rantaian makanan serantau, jelas pensyarah politik-ekonomi UiTM Sabah Firdausi Suffian.

 

Beliau menekankan bahawa negara-negara Asia, terutamanya ASEAN merupakan komponen penting dalam rantaian makanan dunia seharusnya bekerjasama dengan lebih erat bagi menarik pelaburan berkaitan agro.

 

"Menerusi ucapan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia, beliau berkata kegiatan perdagangan serantau meningkat apabila kebanyakan perniagaan lebih menjurus di Asia kerana rantaian bekalannya lebih pendek dan berdaya tahan tinggi, dan ini seharusnya menjadi titik penting kepada pembangunan inklusif serantau.

 

"Jepun boleh menyalurkan teknologi untuk makanan, manakala Malaysia dan Indonesia mempunyai kepakaran serta kelebihan dalam sektor kelapa sawit, begitu juga dengan Thailand dan beras dan Myanmar serta Vietnam masing-masing mempunyai tanaman yang amat penting dalam rantaian makanan serantau," jelas beliau ketika dihubungi DagangNews.

 

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Firdausi berkata kerjasama rapat antara negara Asia serta peningkatan pelaburan berkaitan agro akan meningkatkan pengeluaran makanan serta pemprosesan makanan serantau dan yang lebih penting, mengelakkan krisis makanan serantau.

 

"Kita ada sudah ada struktur perjanjian berkaitan makanan yang baik di Asia dan juga antara ASEAN, malahan Skim Tarif Keutamaan Sama Rata antara negara-negara ASEAN juga sudah tiada, jadi kita harus mengeratkan lagi hubungan ini," kata beliau lagi.


 

Firdausi Suffian
            Firdausi Suffian

 


Menyentuh mengenai larangan eksport, Firdausi berkata langkah larangan eksport yang diperkenalkan oleh sesetengah negara akan menyebabkan syarikat-syarikat pengeksport mencatatkan keuntungan yang lebih sedikit, seterusnya mengurangkan peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan malah mengurangkan pelaburan.

 

"Sebagai contoh, sesuatu produk dijual pada harga RM2 di pasaran tempatan dan RM3 di pasaran antarabangsa, dengan menjual di pasaran antarabangsa, syarikat-syarikat ini mendapat pulangan lebih tinggi seterusnya melabur bagi membesarkan kilang dan menambah baik kilang-kilang mereka.

 

"Benar, harga barangan akan naik disebabkan ketidakcukupan dalam pasaran tempatan, namun ini bersifat sementara dan harga barangan akan turun secara beransur-ansur setelah syarikat ini melabur dalam operasi mereka.

 

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya di Persidangan Nikkei, berkata berdasarkan pola perdagangan, jumlah perdagangan dalam kalangan negara Asia adalah besar; eksport barangannya berada pada purata 59 peratus bagi tahun 2016 hingga 2020.

 

Ini menunjukkan Asia mampu mempengaruhi trend atau arah aliran perdagangan dunia jika 16 pendekatan diambil lebih bersifat serantau.

 

Ketika globalisasi kini dalam kemerosotan, para pembuat dasar dan juga pemimpin perniagaan di Asia harus meningkatkan lagi usaha mengukuhkan kerjasama serantau dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

“Dan menjadikan rantaian bekalan serantau lebih berdaya tahan menerusi sokongan pelaburan infrastruktur digital dan memudah cara usaha untuk membangunkan kapasiti ke arah meningkatkan rantaian bekalan tempatan,’’ kata Perdana Menteri. – DagangNews.com