Sarawak akan bina pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang dengan kerjasama Antwerp-Bruges Port | DagangNews Skip to main content

Sarawak akan bina pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang dengan kerjasama Antwerp-Bruges Port

Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendengar taklimat pembangunan di daerah Gedong pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada 14 April 2024. - Gambar UKAS

KUCHING 15 April - Kerajaan Sarawak bersedia membina pelabuhan laut dalam baharu di Tanjung Embang, Gedong secara kerjasama dengan firma Belgium, Antwerp-Bruges Port.

 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelabuhan laut dalam yang akan datang di Tanjung Embang akan menjadi satu lagi kemudahan penting memandangkan Pelabuhan Senari sedia ada agak kecil.

 

“Kita (kerajaan Sarawak) sedang membina pelabuhan baharu di Tanjung Embang, tetapi ia bukan di tepi tanjung, ia akan dibina di laut dalam.

 

“Kerja-kerja pendinding darat akan dilakukan di laut, bermakna kita akan mempunyai pelabuhan laut yang bersambung dengan pantai.

 

“Sambungannya dari Tanjung Embang ke Samarahan dan Gedong,” katanya pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sebuah hotel di Gedong pada Ahad.

 

 

senari
Pelabuhan Senari di Kuching, Sarawak

 

 

Abang Johari yang juga ADUN Gedong yakin kerajaan Sarawak mampu merealisasikan projek itu.

 

Menurutnya, projek itu telah berjaya dilaksanakan di Osaka, Jepun. “Kalau Jepun boleh, pasti orang Sarawak boleh. “Sekiranya Osaka boleh buat, Shanghai boleh, Gedong patut dapat bina pelabuhan juga,” kata Abang Johari.

 

Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk membina pelabuhan laut dalam baharu untuk Sarawak Selatan di Tanjung Embang dengan kerjasama pihak berkuasa pelabuhan yang berpangkalan di Belgium.

 

Abang Johari menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Antwerp-Bruges dan Hubline Berhad pada 26 Julai 2022.

 

Pelabuhan Antwerp-Bruges ialah pelabuhan kontena antarabangsa kedua terbesar di Eropah dan yang ke-14 di dunia manakala Hubline ialah syarikat tempatan yang terlibat dalam perkhidmatan logistik perkapalan pukal. - DagangNews.com